SST Diperluas, Belia Semakin Tertekan
SST Diperluas, Belia Semakin Tertekan
PETALING JAYA – Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) menzahirkan rasa kecewa terhadap keputusan kerajaan yang didakwa terus-menerus menambah beban kepada golongan belia, khususnya mereka yang sedang bertatih membina kehidupan dalam suasana ekonomi yang mencabar.
Menurut Naib Ketua ARMADA, Faiz Rahmad, pelaksanaan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadual bermula minggu hadapan hanya menambahkan tekanan kepada anak muda selepas kegagalan kerajaan menangani isu kebajikan pekerja dalam sektor p-hailing dan e-hailing sebelum ini.
“Kenaikan SST hampir 97 peratus terhadap barangan dan perkhidmatan adalah tindakan terburu-buru dan tidak sensitif terhadap nasib rakyat, khususnya anak muda yang sudah pun terhimpit dengan tekanan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
ARMADA turut menyokong kenyataan Ketua Pembangkang, Dato’ Sri Hamzah Zainudin yang lebih awal memberi amaran mengenai kesan buruk pelaksanaan dasar itu terhadap kesejahteraan rakyat, terutama generasi muda.
Antara sektor yang terlibat dalam pelaksanaan SST baharu ini termasuk sewaan, pajakan, pendidikan, penjagaan kesihatan swasta serta perkhidmatan kewangan – semuanya merupakan keperluan asas bagi anak muda yang sedang berusaha membina masa depan.
“Kesannya, kos untuk berkahwin, membeli rumah dan menyambung pelajaran dijangka meningkat secara mendadak. Di bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru, sewa rumah sahaja sudah hampir separuh daripada pendapatan golongan belia,” jelasnya lagi.
ARMADA menggesa kerajaan segera menghentikan pelaksanaan dasar yang disifatkan sebagai tidak berempati dan menghukum belia.
“Cukuplah dasar-dasar yang menindas ini. Sudah tiba masa kerajaan mengambil pendekatan yang lebih strategik dan mesra belia dalam usaha memulihkan ekonomi,” tegas Faiz.-SAHIH