Ruang Kapsul Masa Ditimbus Simen: Warisan Negara Cuba ‘Dihapus’?
Ruang Kapsul Masa Ditimbus Simen: Warisan Negara Cuba ‘Dihapus’?
KUALA LUMPUR – Tindakan menutup ruang penyimpanan Kapsul Masa Wawasan 2020 dan mencabut plak peringatan di Menara Kuala Lumpur disifatkan sebagai cubaan menghapuskan warisan sejarah negara secara senyap-senyap.
Lebih mengejutkan, kawasan bersejarah itu kini didakwa telah disimen sepenuhnya atas alasan faktor keselamatan dan ketiadaan kapsul di lokasi asal – satu alasan yang dianggap tidak munasabah dan langsung tidak masuk akal.
Menurut Dato’ Abdul Hamid Shaikh, Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (Hydroshoppe Sdn. Bhd.), tindakan drastik oleh syarikat pengurusan semasa, LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM), bukan sahaja mencabar logik, malah menunjukkan sikap tidak menghormati nilai sejarah negara.
“Plak peringatan itu bukan sekadar memaparkan logo lama. Ia melambangkan semangat dan harapan rakyat sejak tahun 1996. Tindakan mencabutnya kerana alasan penjenamaan semula adalah tidak wajar,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Tambah beliau, meskipun kapsul masa dan barangan berkaitannya kini berada dalam simpanan Arkib Negara Malaysia, tapak asal penyimpanannya masih memiliki nilai simbolik tinggi dan menjadi tarikan pelancong serta penyelidik.
Menara Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1 Oktober 1996 menyaksikan kapsul itu ditanam sebagai simbol aspirasi Wawasan 2020.
Abdul Hamid turut mengecam tindakan menutup ruang itu menggunakan simen sebagai satu bentuk pemusnahan sejarah.
“Syarikat kami memelihara kawasan tersebut selama hampir tiga dekad tanpa isu. Kini, LSHSM tidak sepatutnya memadamkan sejarah ini sesuka hati,” katanya.-SAHIH