5 sekeluarga maut, 3 cedera dalam nahas ngeri di Jerantut
5 sekeluarga maut, 3 cedera dalam nahas ngeri di Jerantut
JERANTUT : Perjalanan sebuah keluarga dari Bota, Perak ke Jerantut bertukar tragedi apabila lima daripada mereka maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Jerantut Feri, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 12.39 pagi itu, sebuah Perodua Bezza yang dinaiki tujuh individu dipercayai sekeluarga bertembung dengan Toyota Alphard yang datang dari arah Pulau Tawar menuju ke Jerantut.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim, lima mangsa daripada Perodua Bezza disahkan maut, manakala tiga lagi termasuk penumpang dari Toyota Alphard cedera.
“Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Ikmal bin Ishak, 26; Nur Arfiqah binti Aziz Jaafar, 23; Nurul Hazwani binti Aziz Jaafar, 17; Mohd Azizul Hakimi bin Aziz Jaafar, 19; dan Mohd Zulkifli bin Aziz Jaafar, 21 – semuanya berasal dari Kampung Padang Kunchor dan Teluk Bakong, Bota, Perak.
“Dua mangsa tersepit dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut. Tiga lagi mangsa tercampak keluar dari kenderaan akibat impak kuat,” katanya.
Operasi menyelamat diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Hashim bin Daud, bersama lima anggota menggunakan satu jentera FRT. Komander Operasi Kanan ialah Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Raja Mohd Arif bin Raja Shamsudin yang juga Ketua Balai BBP Jerantut.
Tiga mangsa yang cedera – dua lelaki dan seorang wanita dari Toyota Alphard – dihantar ke Hospital Jerantut menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mohd Razam berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.21 pagi dan semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-SAHIH