Berpelukan dalam ajal: Dua beradik dibunuh kejam ketika cari durian
Berpelukan dalam ajal: Dua beradik dibunuh kejam ketika cari durian
INDONESIA : Dua beradik yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari durian di sebuah kebun akhirnya ditemui maut dalam keadaan tragis — berpelukan — di sebuah taman di Kabupaten Pesisir Barat, Lampung, Rabu lalu.
Mangsa masing-masing berusia lapan dan empat tahun disahkan menjadi mangsa pembunuhan kejam, menurut laporan CNN Indonesia.
Pengarah Direktorat Siasatan Jenayah Polis Lampung, Pesuruhjaya Senior Pahala Simanjuntak berkata, kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Bhayangkara Polis Lampung untuk proses bedah siasat.
“Ketika ini kami masih mengumpul bukti dan menyiasat siapa pelakunya kerana ini jelas satu pembunuhan,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala akibat tetakan senjata tajam.
“Lengan salah seorang daripada mereka juga putus, namun potongan itu sudah dijumpai di lokasi kejadian,” katanya.
Setakat ini, dua saksi sudah dipanggil bagi membantu siasatan, dan polis menjangka akan memanggil lebih ramai lagi individu bagi memperkukuh bukti.
Dalam pada itu, pihak forensik sedang menjalankan analisis ke atas beberapa barang bukti yang ditemui di tempat kejadian dalam usaha mengesan petunjuk lebih terperinci.
Ketua Polis Daerah Pesisir Barat, AKBP Bestiana pula memaklumkan, sebelum kejadian, kedua-dua kanak-kanak terbabit sempat mengucapkan selamat tinggal kepada ibu bapa mereka.
“Mereka keluar untuk mencari durian di kebun tetapi sehingga tengah hari masih belum pulang. Penduduk kemudian melancarkan gerakan mencari sebelum menemui mereka dalam keadaan sudah tidak bernyawa,” katanya.
Kejadian menyayat hati itu mencetuskan kemarahan dan kesedihan dalam kalangan penduduk setempat, yang kini berharap pelaku segera ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.-SAHIH
Sumber CNN INDONESIA