Kepimpinan Menteri Besar Pahang Kekalkan Prestasi Cemerlang
Kepimpinan Menteri Besar Pahang Kekalkan Prestasi Cemerlang
LIPIS – Negeri Pahang terus menunjukkan prestasi cemerlang di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Naib Presiden UMNO Malaysia.
Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kepimpinan Wan Rosdy bukan sekadar retorik politik, tetapi terbukti menerusi pelbagai pencapaian yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Antara pencapaian yang paling membanggakan ialah kejayaan negeri mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah, selain pelaksanaan projek strategik berimpak tinggi seperti Pahang East Hub dan Taman Perindustrian Gebeng,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, projek-projek ini membuka peluang pekerjaan, meningkatkan hasil negeri serta merancakkan zon-zon pertumbuhan ekonomi.
Abdul Rahman turut menekankan bahawa kestabilan pentadbiran negeri membolehkan bantuan diagihkan secara menyeluruh dan tersusun, terutama kepada golongan rentan seperti Orang Asli, warga emas, belia dan keluarga B40.
“Komitmen terhadap pembangunan Islam dan institusi keagamaan juga kekal konsisten dengan peningkatan peruntukan kepada sekolah tahfiz, pondok, masjid dan surau serta pemerkasaan institusi dakwah di seluruh daerah.
“Pembangunan luar bandar, pembinaan rumah mampu milik serta penambahbaikan kemudahan asas di kawasan pedalaman turut diberikan perhatian serius,” katanya.
Beliau menyentuh laporan media bertajuk “Pemuda PAS Pahang, Terengganu jalin kerjasama realisasikan misi PAS Teraju Pahang” yang disiarkan pada 8 Mei lalu, Abdul Rahman menyifatkan kenyataan tersebut sebagai gerak saraf yang cuba menggugat kestabilan politik negeri.
“Kenyataan itu memberi gambaran seolah-olah wujud usaha mengambil alih pentadbiran negeri tanpa berasaskan mandat rakyat. Ini jelas satu cubaan mencabar kestabilan politik yang sedang dinikmati rakyat.
“Rakyat Pahang telah membuat pilihan berdasarkan prestasi dan pengalaman, bukan janji atau persepsi semata-mata. Kami yakin rakyat Pahang cukup matang menilai antara realiti kejayaan pentadbiran dan naratif politik yang sempit. Negeri ini bukan medan eksperimen politik,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Pahang telah membuat pilihan berdasarkan prestasi dan pengalaman, bukan janji atau persepsi semata-mata.
Beliau menutup kenyataan dengan menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Wan Rosdy dan berikrar akan mempertahankan kestabilan serta kesinambungan pembangunan negeri.-SAHIH.