“Kill The Messenger!” – Wartawan Disaman RM1 Juta, Peneroka Haram Terus Kebal?
“Kill The Messenger!” – Wartawan Disaman RM1 Juta, Peneroka Haram Terus Kebal?
TEMERLOH – “Jangan bunuh pembawa berita, buru pembinasa hutan!” Itu luahan pedih bekas Ketua Pengarang Berita TV3, Mohd Khaidir Ahmad, selepas dikenakan saman berjumlah RM1 juta oleh Kerajaan Negeri Pahang – hanya kerana mendedahkan isu alam sekitar.
Mohd Khaidir yang dikenali sebagai pejuang isu rakyat dan pencinta alam mendakwa, beliau menjadi individu pertama dalam sejarah disaman secara rasmi oleh kerajaan negeri atas kapasiti individu – bukan badan korporat atau pertubuhan.
“Saya hanya lapor kejadian banjir lumpur di Sungai Dingin tahun 2021, lengkap dengan video dan gambar balak depan rumah penduduk. Tapi saya pula yang kena saman. ‘Kill the messenger’?” soalnya sinis.
Beliau turut mempertikai kenyataan rasmi kerajaan negeri ketika itu yang menafikan sebarang aktiviti pembalakan di Bentong, sedangkan bukti di lapangan menunjukkan sebaliknya.
“Saya lahir tepi Sungai Pahang. Saya tahu beza banjir biasa dengan banjir akibat penerokaan hutan. Mustahil tiada pembalakan kalau banjir bawa puing dan balak,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendedahan beliau turut menyentuh isu tanah haram beribu ekar di Terlemung, termasuk projek mega untuk golongan elit, yang didakwa turut menyumbang kepada kerosakan alam.
“Bekas tentera teroka setengah ekar, tetapi penceroboh musnahkan ribuan ekar hutan dan tanam Durian Musang King, masih bebas. Cukai pun tak bayar. Kenapa kerajaan tidak bertindak,” tegasnya.
Mohd Khaidir percaya saman terhadapnya merupakan taktik untuk menakutkan aktivis dan pengamal media lain supaya membisu.
“Saya pernah kena saman RM10 juta, saya lawan dan menang. Jadi saman ini bukan penghalang, malah pembakar semangat. Jangan takut. Kalau semua diam, siapa nak bela rakyat dan alam?” katanya lagi.
Beliau turut berharap Tuanku tidak dipergunakan dalam isu ini kerana yakin tindakan menyaman tidak mendapat perkenan secara langsung.
“Saya akan terus perjuangkan isu ini. Biar sejarah tulis, inilah wartawan tua yang bangkit melawan – demi bumi Pahang yang tercinta,” tegasnya.-SAHIH