Kerajaan Pahang perlu wujudkan “master plan” urus tanah dirampas – Tuan Ibrahim
Kerajaan Pahang perlu wujudkan master plan urus tanah dirampas – Tuan Ibrahim
KUANTAN – Kerajaan Pahang digesa merangka satu pelan induk atau master plan yang menyeluruh bagi menguruskan tanah-tanah simpan kekal yang telah dirampas daripada penceroboh, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau menegaskan bahawa tindakan merampas tanah semata-mata tanpa pelan jangka panjang bukanlah penyelesaian yang berkesan dan hanya akan menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan.
“Kalau kita hanya sekadar rampas dan tinggalkan begitu sahaja, orang akan lihat kerajaan sebagai zalim. Apa yang penting ialah pelan tindakan berterusan. Kita kena ada hala tuju yang jelas,” katanya ditemui pada Himpunan Penyatuan Ummah Pahang dan Solidariti Palestin di Padang Cenderawasih, di sini, semalam.
Tuan Ibrahim berkata, kerajaan perlu mengenal pasti secara menyeluruh jumlah sebenar tanah simpan kekal yang telah diceroboh di setiap daerah dengan data yang lengkap dan terperinci.
“Sehingga kini, kita tiada data yang benar-benar lengkap. Walaupun ada badan yang cuba kumpul maklumat, tapi kita perlukan data rasmi dan menyeluruh. Tuanku sendiri sebut, ini bukan soal siapa yang bersalah, tapi soal masa depan tanah di negeri ini,” katanya.
Menurut beliau, langkah terbaik adalah dengan membangunkan semula tanah-tanah yang telah dirampas melalui agensi kerajaan supaya hasilnya dapat dimanfaatkan oleh rakyat.
“Sebagai contoh, Pahang terkenal dengan pengeluaran durian Musang King. Tapi kalau kita tak urus dengan baik, identiti itu boleh hilang. Kita kena jaga nama negeri,” katanya.
Beliau turut menyeru pegawai-pegawai kerajaan agar menjadi mata dan telinga dalam mengawal serta memelihara tanah-tanah simpan kekal daripada terus diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.-SAHIH