PENGURUS KILANG HILANG HILUX, PENJENAYAH RAKAM DALAM CCTV!
PENGURUS KILANG HILANG HILUX, PENJENAYAH RAKAM DALAM CCTV!
JERANTUT – Seorang pengurus kilang tergamam apabila kenderaan pacuan empat rodanya, Toyota Hilux, lesap di hadapan rumahnya di Taman Damai, pagi ini. Lebih mengejutkan, rakaman CCTV mendedahkan dua lelaki menaiki Toyota Vellfire atau Alphard bertindak licik mencuri kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad, berkata kejadian itu disedari mangsa, lelaki berusia 25 tahun, selepas mendapati Hilux hitam dengan nombor pendaftaran KFQ 3303 tidak lagi berada di tempatnya sekitar jam 5.17 pagi.
“Mangsa baru pulang dari Kelantan atas urusan kerja dan meletakkan kenderaan milik syarikatnya di hadapan rumah pada jam 10 malam dalam keadaan berkunci. Namun, apabila bangun pagi, kenderaan itu sudah hilang,” katanya.
Kecurian itu terbongkar selepas mangsa memeriksa rakaman CCTV, yang menunjukkan dua individu tidak dikenali menaiki MPV mewah sebelum bertindak mencuri kenderaannya. Susulan kejadian, mangsa segera membuat laporan di Balai Polis Jerantut pada jam 9.38 pagi.
Superintendan Zukri berkata, ketiadaan sistem GPS pada kenderaan tersebut menyukarkan pengesanan, dan kerugian dianggarkan mencecah RM150,000.
“Hebahan ‘Alert Tone’ telah dibuat dan RJ10B dicipta untuk rekod kenderaan hilang. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kenderaan atau suspek agar segera menghubungi IPD Jerantut atau mana-mana balai polis berdekatan.-SAHIH