Penduduk Kuantan Disaran Berwaspada, IPU Cecah 251
Penduduk Kuantan Disaran Berwaspada, IPU Cecah 251
KUANTAN , – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap pencemaran udara yang melanda Balok Baru, Kuantan.
Berdasarkan rekod, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu mencecah 251, dikategorikan sebagai sangat tidak sihat.
Bacaan ini direkodkan pada jam 2 petang semalam dan dijangka terus meningkat susulan kebakaran ladang kelapa yang berlaku berhampiran Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular.
Paduka Baginda menasihati penduduk sekitar, terutama yang mempunyai masalah pernafasan, agar mengambil langkah berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan kesan buruk terhadap kesihatan.
Selain itu, orang ramai disarankan menghentikan sebarang aktiviti luar buat sementara waktu, khususnya yang melibatkan pelajar sekolah di kawasan terjejas.
Dalam masa yang sama, Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak melakukan pembakaran terbuka, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas dan berangin yang boleh memburukkan lagi tahap pencemaran udara.
Pihak berkuasa dijangka akan mengambil langkah pemantauan dan tindakan lanjut bagi mengawal keadaan serta memastikan kesihatan rakyat tidak terjejas.-SAHIH