Kekal tradisi keluarga dapatkan bekalan daging sambut puasa
Foto : Pasar Jerantut diserbu orang ramai untuk mendapatkan daging
Kekal tradisi keluarga dapatkan bekalan daging sambut puasa.
JERANTUT – Membeli daging setiap kali menjelang sambut Ramadan setiap tahun sudah menjadi tradisi keluarga sejak sekian lama.
Seorang pembeli dari Felda Jengka 12, Mohd Sukri Talib (45) berkata, sudah menjadi kelaziman keluarganya untuk mendapatkan daging menjelang sambutan awal Ramadan.
“Kami datang dari Jengka untuk mendapatkan bekalan daging untuk sambut awal Ramadan untuk juadah bersahur.
“Seperti tidak lengkap kalau tidak ada daging untuk dimasak menjelang awal Ramadan semasa bersahur bagi keluarga kami,” katanya.
Seorang pembeli daging dari Kampung Mela, Lipis, Mokhtar Sulaiman (59) berkata, dia dan isterinya datang ke pasar Jerantut awal pagi semata-mata untuk mendapatkan bekalan daging.
“Kebetulan anak-anak saya tinggal berdekatan di bandar Lipis dan Jerantut, jadi mereka balik untuk ‘memegang’ puasa di kampung bersama keluarga.
“Seronok bersahur beramai-ramai serta cucu yang mula belajar berpuasa,” katanya
Seorang peniaga, Amri Zakri (36) berkata, orang ramai mula datang sejak 7.00 pagi untuk mendapatkan bekalan daging tersebut.
“Di sini ada lima gerai menjual daging hanya lima ekor dijual pada peringkat awalnya, tetapi melihat banyak permintaan daripada orang ramai maka tambahan daging menjangkau menjadi 10 ekor.
“Setakat ini, harga daging lembu dan kerbau dijual pada harga RM34 sekilogram dan kambing berharga RM45 sekilogram,” katanya.
Katanya, kebanyakan pembeli bukan datang dari sekitar bandar Jerantut, tetapi ada yang datang dari kawasan luar daerah dan bandar itu.-SAHIH.