ZOO DALAM KEBUN
TEMERLOH: Satu kawasan agrotourism yang dilengkapi dengan kebun durian, mini zoo, chalet dan rumah atas pokok akan dibuka di Kampung Ketam, Temerloh pada Februari tahun depan.
Pengunjung boleh bermalam di Sarang Naga Agro Farm itu, disamping menikmati 15 spesis durian seperti duri hitam dan Musang King serta mini zoo.
Pengurus Sarang Naga Agro Farm, Shaiful Ridzuan Abu Bakar berkata, kawasan di atas tanah seluas 15 ekar itu ditanam dengan 600 pokok durian dan mini zoo yang dipenuhi dengan 15 spesis ayam seperti ayam kampung, dan 10 spesis termahal seperti ayam Onagadori dari Jepun.
Terdapat juga pelbagai spesis burung seperti burung merak dan burung kuang di samping pelbagai jenis itik seperti itik air, itik angsa dan itik serati.
Selain itu, terdapat juga haiwan eksotik seperti landak, rusa dan kancil yang mendapat lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara (PERHILITAN).
Katanya lagi, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti luar seperti flying fox dan berkayak.