Penduduk Taman Inderapura lega selepas seekor ular sawa berjaya ditangkap
Foto : Kakitangan berjaya menangkap seekor ular sawa pagi ini.
Penduduk Taman Inderapura lega selepas seekor ular sawa berjaya ditangkap
JERANTUT – Kerisauan penduduk Taman Inderapura lega selepas kelibat seekor ular sawa yang kelihatan di taman perumahan itu berjaya ditangkap awal pagi ini.
Seramai empat kakitangan Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Daerah Jerantut berjaya menangkap haiwan itu di Jalan 11, Taman Inderapura, dekat sini pada jam 3.45 pagi, hari ini.
Jurucakap jabatan itu memaklumkan, pihaknya menerima aduan pengadu yang ternampak haiwan itu berdekatan sebuah rumah di lokasi tersebut sejak 11 November lalu.
Katanya, pengadu ternampak ular sawa bersaiz besar berdekatan dengan rumahnya, pihaknya telah membuat siasatan di rumah pengadu serta memberi khidmat nasihat untuk menutup ruang di depan pagar depan rumah dengan jaring supaya ular tidak boleh masuk ke kawasan dalam rumah.
“Pengadu juga telah membuat laporan kepada Angkatan Pertahanan Awam (JPAM) dan pihak bomba namun ular tersebut gagal ditemui.
“ Pengadu memaklumkan ular tersebut mudah dijumpai pada waktu malam sahaja, pihak Perhilitan bertindak melakukan pemantauan berterusan dari masa ke semasa sehingga berjaya menangkap haiwan itu di hadapan rumah pengadu,” katanya.
Katanya, ular tersebut telah dibawa ke Pejabat PERHILITAN Daerah Jerantut untuk tindakan selanjutnya.-SAHIH.