Pendaki wanita Gunung Tahan kejang otot kaki tunggu bantuan helikopter JBPM
Pendaki wanita Gunung Tahan kejang otot kaki tunggu bantuan helikopter JBPM
JERANTUT : Seorang wanita berusia 27 tahun yang mendaki Gunung Tahan mengalami kekejangan otot kaki sebelah kiri ketika mendaki dan tidak dapat bergerak dan sedang menunggu bantuan penerbangan ihsan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membawanya keluar.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Zukri Muhammad berkata, kejadian itu berlaku di Kem Pangkin, Gunung Tahan dekat sini kira-kira jam 9.20 pagi ini.
“Wanita itu, Nurul Shafiqah Norazmi, berusia 27 tahun beralamat di Sentul, Kuala Lumpur bersama 20 pendaki telah melakukan aktiviti pendakian sejak 15 September dan dijangka keluar pada 21 September ini.
“Semasa kejadian seramai 20 orang peserta dan disertai dua orang pemandu pelancong yang mula mendaki pada 15 September melalui Merapoh, Lipis dan dijangka tiba di Kuala Tahan, Jerantut pada 21 September ini,” katanya, di sini hari ini.
Zukri berkata, anggota Pondok Polis Kuala Tahan, Jerantut telah menerima maklumat awal kejadian tersebut pada jam 9.20 pagi ini dan terus melakukan penugasan dengan memasang helipad di Padang Bolasepak Jerantut serta turut memaklumkan pihak Hospital Jerantut bersiap sedia dengan ambulan.
“Pasukan penyelamat memerlukan helikopter untuk sampai di lokasi kejadian dan telah diatur gerak oleh pihak Bomba Kuala Tahan. Mangsa akan dibawa keluar untuk tujuan rawatan.
“Ketika ini, pihak penyelamat di Kuala Tahan sedang menunggu ketibaan helikopter JBPM dari Subang.
Katanya, kumpulan 20 orang itu terdiri 16 lelaki dan empat perempuan yang datang dari Lembah Klang, Putrajaya, Melaka dan Pulau Pinang untuk mendaki Gunung Tahan di hutan hujan tropika berusia 130 juta tahun itu.- SAHIH.