Huawei, UPSI laksana program pensijilan profesional ICT
Foto : Antara peserta yang mengikuti program latihan dan pensijilan profesional Huawei Cloud Certified Developer Associate (HCCDA).
Huawei, UPSI laksana program pensijilan profesional ICT
Huawei Technologies (Malaysia) Sendirian Berhad penyedia infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi serta peranti pintar bekerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, dalam pelaksanaan program latihan dan pensijilan profesional kepada staf dan pelajarnya.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata kerjasamana itu membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui jalinan kerjasama pihak industri dan pada masa yang sama meningkatkan kompetensi staf teknikal di UPSI.
Md Amin berkata, program berkenaan juga dapat memupuk bakat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta membantu pelajar lebih bersedia untuk menghadapi dunia pekerjaan selain pada masa yang sama dapat membantu mencipta penghubung antara pendidikan akademik dan industri.
Ketua Pegawai Digital, Ts Dr Megat Azrin Ahmad
Sementara itu, Ketua Pegawai Digital, Ts Dr Megat Azrin Ahmad, berkata pelaksanaan program itu selaras dengan inisiatif MyDIGITAL menerusi dua teras strategik iaitu membina bakat digital yang tangkas serta kompeten, dan mewujudkan masyarakat digital yang inklusif.
Katnya, peringkat permulaan 15 staf dan pensyarah serta 87 pelajar dari Fakulti Komputeran & Meta Teknologi (FKMT) UPSI diberi latihan bagi pensijilan Huawei Cloud Certified Developer Associate (HCCDA).
“Program ini akan diadakan secara berterusan dalam usaha membangunkan bakat ICT tempatan serta menggalakkan pembangunan serantau dan penyertaan dalam komuniti digital,” katanya.
Sementara itu, Ketua Sektor Awam Huawei, Perniagaan Awan Malaysia, Ismanita Ismail berkata, pihaknya berbangga kerana dapat bersama-sama dengan UPSI dalam menyediakan pendidikan kepada generasi semasa dan membolehkan mereka menjadi lebih bersedia bagi pembangunan ICT.
“Huawei komited untuk menyediakan sistem pembangunan bakat serta piawaian pensijilan, membangunkan profesional ICT baharu dalam era digital dan membina ekosistem bakat ICT.
“Program yang dilaksanakan ini merupakan sebahagian daripada pensijilan pengkomputeran awan yang terdapat di Huawei,” katanya.
Katanya, dalam tempoh tiga tahun, Huawei berharap dapat menyasarkan lebih ramai pelajar IPTA dan kakitangan sektor awam yang akan menerima manfaat daripada program latihan pensijilan Huawei.
“Program latihan dan pembangunan bakat itu bukan sahaja memenuhi tuntutan industri semasa tetapi meningkatkan potensi diri staf dan pelajar serta menyemai kemahiran baharu,” katanya – SAHIH.