Kagum, penduduk Cina kampung bantu baiki jalan mudahkan guna laluan pintas
IPOH – Kesesakan di lebuh raya yang berlaku semasa cuti Aidilfitri kali ini meninggalkan pelbagai cerita dan ragam.
Bagaimana pun, satu kisah menarik dikongsikan oleh pengguna Facebook bernama Zairul Anuar tentang pengalaman beliau sekeluarga menggunakan jalan pintas atau jalan tikus sebagai alternatif.
Menerusi paparan tersebut, beliau memaklumkan dalam perjalanan pulang bersama keluarga menuju ke Kuala Lumpur pada hari raya dari Simpang Pulai menuju arah selatan.
Antara laluan ‘tikus’ yang dilalui.
Disebabkan keadaan jalan sesak beliau mengambil keputusan masuk semula melewati susur Gopeng untuk menggunakan jalan dalam.
Sepanjang perjalanan beliau telah menggunakan aplikasi Google Maps.
Sewaktu menghampiri Ladang Bikam, aplikasi Google Maps memaklumkan kesesakan teruk lalu mencadangkan laluan alternatif.
Menggunakan jalan tersebut, kenderaannya dibawa melalui jalan kampung yang akhirnya sampai ke sebuah kawasan perumahan kecil.
“Selepas melewati perumahan itu, kami sampai di jalan yang tidak bertar, masuk ke ladang kelapa sawit yang gelap.
“Kami melanjutkan juga perjalanan perlahan-lahan. Kelihatan beberapa kereta dari arah bertentangan dan mereka berhenti di samping kami sambil memberitahu jalan di hadapan tak dapat digunakan.
“Mereka mengarahkan kami agar berpatah balik. Semua kereta dibelakang kami juga diminta melakukan perkara yang sama,” ceritanya.
Setelah berpatah balik, beliau tiba semula ke kawasan perumahan tadi sebelum tiba-tiba keretanya diberhentikan oleh sekumpulan lelaki Cina.
Salah seorang lelaki kaum Cina menyapa.
“Boss, u mau pigi KL kan? Jangan patah balik. Itu tadi depan u tak boleh jalan kan? Takpa. Kita bawa backhoe (jengkaut) kasi repair itu jalan. U tunggu sekejap.
“Kalau u patah balik pun tak da guna, jalan Ladang Bikam sana jem manyak teruk sebab ada accident. Nanti u sudah keluar nanti ini jalan, jangan ikut Ladang Bikam, u ikut jalan Bidor sampai KL” ujar seorang lelaki Cina pertengahan usia.
Rupanya-rupanya kawasan itu adalah kawasan perumahan Cina.
Mereka telah sama-sama berpakat untuk membantu melancarkan perjalanan kenderaan yang melewati kawasan perumahan itu.
Pada masa yang sama beliau lihat sebuah jengkaut bergerak laju melepasi kami dari arah bertentangan.
Beliau pun berpatah balik semula ke arah jalan tadi seperti yang diarahkan dan sebaik tiba di tempat itu, jalan telah hampir siap untuk dilalui.
“Ini kerja sekejap saja. Jalan ada sikit bukit, susah kereta biasa mau jalan, 4WD saja boleh, now kita kasi rata, so semua orang boleh jalan. Tapi ini jalan takde internet saja la” ujar seorang lelaki di situ.
Beliau melahirkan rasa terharu atas sikap ambil peduli penduduk di situ membantu kelancaran pengguna jalanraya khususnya masyarakat Melayu pulang dari kampung menuju ke Kuala Lumpur.
“Mereka keluar rumah sama-sama bergotong royong.
“Jarak perjalanan sepanjang kelapa sawit tersebut adalah sejauh lebih kurang 3 kilometer.
“Hebat orang-orang Cina Perak. ‘Power’. Ini barulah bangsa Malaysia,” ujarnya. – Peraktastic