Masjid Felda Jengka 24 julung kali ada majlis Tadarus secara besar-besaran
Masjid Felda Jengka 24 julung kali ada majlis Tadarus secara besar-besaran
JERANTUT – Buat julung kalinya program Tadarus Al-Quran diadakan secara besar-besaran dengan disertai 200 peserta menyertai majlis itu di Masjid Assobirin Felda Jengka 24 dekat sini.
Razak Daud menympaikan sumbangan kepada peserta Tadarus di Masjid Assobirin Felda Jengka 24.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, sebelum ini majlis tadarus hanya diadakan dalam bilangan peserta yang kecil.
“Buat julung kalinya dalam tempoh 40 tahun, majlis secara besar-besaran ini berjaya diadakan sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
“Oleh kerana kesedaran masyarakat dalam betapa pentingnya menghidupkan bacaan Alquran dalam bulan Ramadan, maka bilangan untuk menyertainya bertambah,” katanya di sini.
Katanya, di majlis itu 200 peserta yang menyertai majlis tadarus itu turut menerima sumbangan sebagai tanda kerjasama yang diberikan walaupun dalam kesibukan tugas harian dan mereka ini juga adalah tenaga kerja yang menyediakan masakan bagi majlis Iftar di Masjid Assobirin Felda Jengka 24.
“Kita akan teruskan program seperti ini di tahun hadapan dalam bilangan yang besar dan akan berfokus kepada generasi muda.
“Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan Felda yang turut memberi sokongan yang terbaik serta turut dibantu GPW yang memainkan peranan yang berkesan,” katanya.
Katanya, orang ramai yang mahu menunaikan solat sunat Aidilfitri terpaksa balik kerana setiap ruang majlis Assobirin telah dipenuhi.-SAHIH.