Tidur di sekolah untuk masak bubur lambuk
Foto atas : Penyediaan bahan mentah dan rencah membuat bubur lambuk dilakukan komuniti secara bergotong-royong.
Tidur di sekolah untuk masak bubur lambuk
BIMBANG bubur lambuk tidak dapat dimasak pada masa ditetapkan dan akan membantutkan pula proses agihan sebilangan bapa daripada komuniti Kampung Sungai Serdang membuat keputusan untuk tidur di Sekolah Kebangsaan Sungai Serdang (SKSS), Selangor.
Tindakan mereka menzahirkan rasa terharu Guru Besar SKSS, Hazlina Ali dalam menjayakan program Bubur Lambuk Ramadan 2024 sekolah itu yang dilaksanakan secara bergotong-royong membabitkan ibu bapa, guru dan kakitangan sokongan baru-baru ini.
Bubur lambuk diagihkan Agihan kepada murid SKSS
Hazlina berkata, dia berasa amat terharu dengan pihak komuniti kampung yang sanggup tidur di sekolah semata-mata bagi memastikan penyediaan bubur lambuk dapat disiapkan pada masa ditetapkan sebanyak 1,500 bungkus untuk diagihkan kepada 680 murid, guru dan kakitangan (58) serta komuniti setempat (742).
“Mereka mula menyediakan bahan-bahan serta rencah bersama-sama guru selepas solat tarawih dan mula memasak ketika waktu sahur untuk membolehkan kelancaran agihan dapat dilaksanakan seawal 11.30 pagi kepada semua murid dan mereka terbabit.
“Objektif penganjuran program itu adalah antara usaha SKSS menghidupkan Ramadan Al-Mubarak dengan aktiviti yang tersusun bagi melahirkan masyarakat beriman, bertaqwa, berakhlak dan beramal soleh,” katanya.
Katanya, program anjuran Panitia Pendidikan Agama Islam dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKSS itu turut mendapat sokongan serta kerjasama rakan strategik Yayasan Kossan yang diaktifkan oleh Komuniti Sungai Serdang iaitu O’Otai FC, Cabin Cartel, Tebuan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Tebuan Carom.
“Dengan usaha ini kita akan meraih keberkatan dan fadilat yang ada dalam bulan Ramadan malah berkongsi rezeki pula dengan warga sekolah dan komuniti sekali gus menceriakan ketika waktu berbuka puasa bersama ahli keluarga,” ujarnya.
“Paling penting program berkenaan meningkatkan lagi ikatan silaturahim dalam kalangan warga sekolah, komuniti penduduk dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) rakan strategik dalam menghayati keberkatan bulan Ramadan.
Katanya, keceriaan dan semangat bergotong-royong yang ditunjukkan oleh mereka yang terbabit ini secara tidak langsung membukti sekolah antara salah satu platform terbaik dalam mewujudkan serta membina ikatan ukhuwah erat komuniti setempat.-SAHIH.