Gajah musnah gerai peniaga di Kampung Kuala Sat
Gajah musnah gerai peniaga di Kampung Kuala Sat
JERANTUT : Sebuah gerai dimusnahkan oleh gajah liar di persimpangan masuk ke Kampung Kuala Sat, antara jalan Kuala Tahan ke Kuala Sat, Ulu Tembeling, hari ini.
Gerai milik Norhayati Muhammad (48) yang dimusnahkan oleh haiwan itu terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya di sini, awal pagi ini.
Katanya, kejadian itu mungkin berlaku antara jam 12.00 tengah malam hingga 3 pagi kerana kebiasaannya waktu itu haiwan ini keluar mencari makanan berdekatan jalan raya dan kadang-kadang menceroboh kawasan tanaman penduduk di kampung dekat sini.
“Bagaimana saya hendak berniaga semula apabila gerai sudah dimusnahkan oleh gajah dan mengambil masa untuk membinanya semula dan bimbang akan dimusnahkan sekali lagi oleh haiwan ini.
“Selain gerai saya musnah, peralatan memasak seperti kuali, pinggan, minyak masak, senduk, bekas air dan sebagainya turut rosak dipijak gajah dan bertaburan di kawasan gerai saya,” katanya di sini.
Sementara itu, seorang penduduk, Hanapi Sulaiman (56) berkata, gajah liar akan keluar mencari makanan pada waktu malam merupakan perkara biasa bagi penduduk di situ.
“Kumpulan gajah liar dipercayai bergerak berkumpulan antara lima hingga 10 ekor, saya pernah terserempak dan gajah ini menjadikan kawasan pinggir hutan berdekatan Kampung Pagi – Bukit Awan – Kampung Kuala Sat kawasan rayau haiwan ini.
“Pernah penduduk dan pelancong yang memandu kenderaan waktu siang pernah terserempak dengan gajah liar ini di tepi jalan ke Ulu Tembeling,” katanya.- SAHIH.