165 KIR mangsa banjir terima bantuan Program Rahmah Madani
Foto atas : Datuk Seri Dr Mohd Naim Mokhtar (3 dari kiri) menyampaikan sumbangan itu melibatkan 29 KIR di daerah Jerantut di Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut, semalam.
165 KIR mangsa banjir terima bantuan Program Rahmah Madani.
JERANTUT : Sebanyak 156 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terbabit dengan banjir baru-baru ini di dua daerah di negeri ini menerima sumbangan Program Rahmah Madani, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), semalam.
Menteri tersebut, Datuk Seri Dr Mohd Naim Mokhtar berkata sumbangan itu melibatkan 29 KIR di daerah Jerantut dan 127 KIR di Raub dengan perbelanjaan keseluruhan berjumlah sebanyak RM58,340.
“Saya amat memahami apabila berlaku peristiwa banjir sebegini, ia sedikit sebanyak telah menyebabkan berlakunya kerosakan rumah kediaman dan harta benda lain, justeru, sebagai hamba Allah hendaklah sentiasa redha setiap apa ujian yang menimpa, pada masa sama kita bersangka baik dengan setiap ketentuan Allah.
“Namun, kita sentasa berdoa agar Allah mengurniakan sesuatu imbalan ganti yang lebih baik atas ujian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis penyerahan sumbangan itu di Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut, hari ini.’
Katanya, mereka yang menerima ujian ini hendaklah sentiasa bersabar dan redha dengan apa yang berlaku bahawa semuanya ini adalah sebagai cara Allah SWT untuk mengangkat darjat seseorang hambaNya.
“Terima kasih kepada semua agensi Hal Ehwal Islam seperti JAKIM, YaPEIM, Tabung Haji, YADIM, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah memberi sepenuh komitmen bagi menyahut seruan Perdana Menteri untuk turun padang menyantuni mangsa yang menerima musibah.
“Inilah konsep baik kepada seluruh warga iaitu saling tolong menolong dan berganding bahu dalam membantu masyarakat yang amat memerlukan pertolongan, mungkin hari ini adalah masanya kita membantu saudara kita, mungkin esok atau waktu akan datang mereka pula akan membantu kita,” katanya.-SAHIH.