PERTIMBANGAN TELITI UNTUK PKPD
Berita Nasional
PERTIMBANGAN TELITI UNTUK BUAT PKPD
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menunggu penilaian Kementerian Kesihatan (KKM) serta kementerian berkaitan lain susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang dan Sabah yang dikatakan sebagai longgar.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan selanjutnya akan segera diumumkan dalam masa terdekat.
Katanya, banyak asas pertimbangan perlu diteliti jika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan (di Lembah Klang dan Sabah).
Beliau berkata, walaupun ia mudah bagi kerajaan untuk membuat pemantauan, namun kerajaan perlu melihat kepada kesannya.
“Ramai mengatakan PKPB ini seolah-olah longgar dengan taman awam dan gimnasium serta aktiviti sosial lain dibenarkan hingga ada pertambahan banyak kes.
“Bagaimanapun jika PKPD dilaksanakan, ia akan menutup terus pergerakan dan ini akan menjejaskan sektor ekonomi secara keseluruhan,” katanya pada sidang media perkembangan PKPB, hari ini.
Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPB bertujuan mengurangkan pergerakan dan pada masa sama membolehkan sektor ekonomi berjalan seperti biasa.
“Namun jika PKPD dilaksanakan, semua tidak boleh keluar rumah, malah makanan juga dihantar ke setiap rumah, berikutan semua sektor ekonomi ditutup, secara tidak langsung menjejaskan golongan peniaga.
“Ia bukan melindungi peniaga berikutan ada peniaga yang bergantung kepada gaji harian. Jika sektor ekonomi ditutup, mereka tiada pendapatan,” katanya.
Tegasnya, pelaksanaan PKPB bertujuan mengurangkan pergerakan.
“Kita akan tunggu KKM untuk membuat penilaian dalam masa terdekat ini. Kita memang banyak terima aduan, cadangan daripada orang awam, jadi kita perlu lihat pandangan semua pihak kerana kesihatan, ekonomi, kehidupan sama penting,” katanya.