Warga emas PJMM sambut hari kebangsaan
Foto atas : Sebahagian sukarelawan dan warga emas mengibarkan bendera sambil menyanyikan lagu Jalur Gemilang pada program Majlis Sambutan Merdeka, Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, baru-baru ini.
Warga emas PJMM sambut hari kebangsaan
Warga emas yang disisih oleh ahli keluarga serta terdampar tanpa waris tetap bersemangat patriotik menyambut Hari Kebangsaan ke-66, baru-baru ini.
Empat puluh orang warga emas tersebut menyambut hari kebangsaan negara bersama sukarelawan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tetamu di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih
Pengerusi PJMM, Azman Rasman, berkata, setiap tahun pusat itu tidak pernah lupa untuk mengadakan acara ini bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan negara supaya semangat cintakan tanah air sentiasa segar dalam kalangan warga emas.
Katanya, walaupun ada antara warga emas terbabit makin kurang ingatan namun rakan-rakan mereka yang lain sentiasa mengingatkan pihak pengurusan supaya diadakan sambutan kemerdakaan negara di PJMM kerana tidak puas sekadar menonton menerusi televisyen sahaja.
“Selain itu ada sesetengah warga emas berkenaan sebelum dihantar atau menjadi penghuni di PJMM adalah kakitangan awam atau swasta yang ketika sihat dahulu pernah terbabit bersama-sama majikan dalam perarakan Sambutan Hari Kebangsaan.
“Apabila PJMM dapat memenuhi hasrat kami, warga emas terbabit berasa amat gembira serta terharu kerana dapat mengimbaukan kembali kenangan berarak bersama-sama rakan sepejabat seperti ketika diadakan di Dataran Merdeka dan tempat-tempat lain,” katanya.
Katanya, jika sebelum ini mereka berarak sambil memegang bendera Jalur Gemilang kira-kira 10 meter dari jalan utama ke PJMM bagaimanapun ia tidak dapat dilakukan berikutan ramai warga emas yang uzur.
Majlis itu didahulukan dengan bacaan doa kesihatan dan selamat serta tahlil arwah untuk ahli keluarga juga penghuni yang sudah meninggal dunia yang diketuai Pegawai Agama PJMM, dan kemudian diikuti dengan nyanyian lagu-lagu patriotik yang dimulakan dengan lagu Negaraku serta diakhiri dengan jamuan ringan.
Sementara itu Pengerusi Kelab Sukarelawan Hospital Kajang (KSHK), Ithnin Jufpri menzahirkan rasa kagum dengan pengurusan PJMM yang sentiasa gigih menyantuni warga emas di pusta itu dengan pelbagai aktiviti termasuk mengadakan sambutan kemerdekaan negara setiap tahun.
Menurutnya, walaupun menghadapi beberapa kekangan khusus mendapatkan dana bagi menampung kos operasi namun mereka sentiasa peka dengan peristiwa penting sejarah negara yang secara tidak langsung mengukuhkan semangat cintakan tanah air dalam kalangan warga emas.
“Ada antara warga emas ini pula mampu mengingati sejarah kegemilangan negara mencapai kemerdekaan yang ketika itu mereka dalam usia remaja selain kesusahan kehidupan bersama ibu bapa pada zaman komunis.
“Walaupun tahun ini (2023) tidak dapat dibuat perarakan di atas jalan menuju ke PJMM mereka menunjukkan semangat patriotik apabila bersama-sama mengalunkan lagu Negaraku dan sebagainya,” katanya.-SAHIH.