Pekebun warga Bangladesh maut dalam kemalangan jalan raya di Lipis
Foto atas: Mayat warga Bangladesh dihantar ke Hsopital Lipis.
Pekebun warga Bangladesh maut dalam kemalangan jalan raya di Lipis
LIPIS : Seorang penunggang motosikal warga Bangladesh meninggal dunia dan seorang penunggang warga tempatan cedera parah dalam kejadian kemalangan di KM45, Jalan Bukit Betong- Kampung Chegar Perah, dekat sini pada jam 7.30 malam, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila dua orang menunggang motosikal secara berasingan dari arah Chegar Perah ke Bukit Betong untuk pulang ke rumah masing-masing selepas bekerja.
“Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang warga Bangladesh, Siddik berusia 50 tahun yang bekerja sebagai pekebun sayur hendak membelok masuk ke simpang kanan ke rumahnya, tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah yang sama telah merempuh bahagian belakang motosikal di hadapannya.
“Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal warga asing disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Lipis, manakala penunggang warga tempatan berusia 17 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dirawat di hospital sama,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, kedua-dua motosikal jenis Demak EX90 dan Yamaha Y15ZR mengalami kerosakan teruk pada bahagian belakang, rim belakang bengkok, lampu belakang pecah, ekzos bengkok , handle kiri dan kanan bengkok termasuk lampu hadapan pecah dan pemijak brek kaki bengkok .
“Tempat kejadian berlaku di jalan lurus dan rata, satu lorong , dua hala , terdapat garisan putih putus-putus di tengah sebagai pembahagi lorong, permukaan jalan kering, gelap tanpa lampu jalan , dan cuaca baik.
“Mayat mangsa akan dibedah siasat selepas keputusan ujian Covid-19 diperolehi dijangka pagi ini, esok. Kes disiasat di bawah Sek. 41 (1) APJ 1987, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan,” katanya.-SAHIH.