KOREA UTARA LAYAN TAHANAN TERUK
Berita Global
KOREA UTARA DIDAKWA MEMPERLAKU TAHANAN DENGAN TERUK
SEOUL: Penyeksaan, penghinaan dan pengakuan secara paksa terus berleluasa dalam sistem penahanan perbicaraan Korea Utara yang tahanan mereka memperlaku lebih teruk daripada binatang, kata kumpulan hak asasi dalam laporan mengenai proses undang-undang di negara itu.
Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) yang berpusat di Amerika Syarikat (AS) mewawancara puluhan bekas tahanan dan pegawai Korea Utara bagi menyelami apa yang dikatakan sebagai tidak berperikemanusiaan dan seksaan dihadapi mereka di pusat tahanan.
Laporan itu menyeru Pyongyang menamatkan keganasan dan kekejaman yang dilakukan terhadap tahanannya selain turut menggesa Korea Selatan, AS dan ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lain memberi tekanan kepada kerajaan Korea Utara berhubung isu berkenaan.
Menurut seorang tahanan yang diwawancara, mereka diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan antaranya dipukul dengan kayu dan ditendang terutama ketika fasa awal penahanan.
Selain itu, ada tahanan berkata, mereka dipaksa untuk duduk di lantai, berlutut atau dalam keadaan kaki disilangkan lebih 16 jam sehari.
Bahkan, ada yang turut membuat pengakuan dipukul menggunakan tali pinggang dan dipaksa untuk membuat larian sebanyak 1,000 pusingan di sekitar pusat tahanan.
Sementara itu, seorang bekas tahanan, Yoon Young Cheol, turut mengakui mereka dilayan lebih teruk daripada binatang di pusat tahanan berkenaan, malah ada tahanan wanita menjadi mangsa keganasan seksual.
“Mengikut peraturan, sepatutnya tahanan tidak dipukul, bagaimanapun kami memerlukan pengakuan dalam proses penyiasatan terutama pada peringkat awal penahanan.
“Jadi kami perlu memukul mereka untuk mendapatkan pengakuan,” kata bekas pegawai polis.
Korea Utara, negara yang memiliki senjata nuklear dan dikenali kerana mengamalkan dasar tertutup didakwa melanggar hak asasi manusia oleh PBB dan pengkritik lain.
Bagaimanapun, Pyongyang berpandangan, ia melindungi dan mempromosikan hak asasi manusia yang tulen dan turut menyatakan tidak ada justifikasi dari Barat bagi menetapkan standard bagi perkara itu untuk negara lain.
Pyongang turut mengutuk kritikan antarabangsa berhubung isu itu sebagai kempen yang sengaja dibesar-besarkan bagi memburukkan sistem sosialis dalam kerajaannya.
Sumber : AFP