Guna Bangsal Simpan Ganja
Guna Bangsal Simpan Ganja
KUANTAN – Seorang pembantu kedai makan menjadikan bangsal berhampiran rumah keluarganya dekat Kampung Chendering, di Kuantan, sebagai tempat simpanan ganja sejak awal tahun ini.
Kegiatan licik itu dipercayai dilakukan tanpa pengetahuan ahli keluarganya.
Bagaimanapun aktiviti suspek berusia 28 tahun ini terbongkar selepas ditahan polis dalam satu pemeriksaan di kawasan Jaya Gading, dekat Kuantan pada 21 Mac lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek ditahan kerana memiliki dadah jenis ganja seberat 1 kilogram ketika pemeriksaan itu.
“Dia tidak cuba melarikan diri ketika ditahan kira-kira jam 5.30 petang, hari Selasa lalu (21 Mac) dan selepas soal siasat dilakukan, dia membawa pegawai dan anggota polis ke bangsal yang dijadikan stor.
“Pemeriksaan di bangsal itu pula membawa kepada penemuan 32 ketulan mampat dipercayai dadah jenis gajah seberat 31.2 kilogram dianggarkan bernilai RM80,707,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Ramli berkata, suspek juga mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan kes penyalahgunaan dadah dan ujian air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.
Beliau berkata, suspek mendedahkan dia memperoleh bekalan dadah itu dari negeri jiran dan ia adalah untuk pasaran sekitar daerah Kuantan.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan diusahakan keluarganya itu dipercayai mula menjadi pengedar dadah secara kecil-kecilan sejak dua bulan lalu.
tamat-sahih