Penduduk mahu aktiviti penerokaan di atas bukit dihentikan segera
Penduduk mahu aktiviti penerokaan di atas bukit dihentikan segera.
BENTONG – Kerajaan negeri digesa untuk menghentikan aktiviti penerokaan kawasan tanah tinggi sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik bagi menggelak berlakunya banjir lumpur berulang.
Kejadian kepala air akibat hujan lebat mengakibatkan lima rumah dan 15 premis di Kampung Bukit Tinggi dan Kampung Janda Baik di sini dilanda banjir berlumpur yang paling teruk.
Seorang penduduk Kampung Bukit Tinggi, Bentong, Chan Man Cheung, 56 berkata, kejadian yang berlaku pada jam 6.30 petang itu, membawa air lumpur yang sangat deras.
“Saya terkejut aliran air deras berlumpur melalui rumah yang terletak di bahagian kawasan rendah sedikit menyebabkan beberapa barangan dihanyutkan kelmarin.
“Kali ini banjir deras yang turut membawa lumpur yang lebih parah berbanding dua kejadian yang sama sebelum ini pada 2022, “katanya.
Katanya, sejak kebelakangan ini, setiap kali hujan lebat berlaku, penduduk sentiasa bimbang kerana boleh mengakibatkan banjir dan air berlumpur dan diharapkan aktiviti di atas bukit wajar dihentikan.
Seorang penduduk Kum Koh Leong@Kum Kwai menyifatkan banjir lumpur terbaharu adalah paling teruk walaupun tidak melibatkan pemindahan mangsa.
“Mujur, kami bernasib baik hujan lebat tidak berpanjangan, andai berterusan mungkin kami terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara.
“Kalau hujan berterusan, kami tidak boleh tidur kerana bimbang aliran banjir dari bukit boleh menyebabkan tanah runtuh seperti di pusat perkhemahan di Batang Kali, baru- baru ini, mungkin aktiviti ‘di atas’ menyebabkan banjir lumpur,” katanya.
Seorang penduduk Kok Moi,78, mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang turun padang meninjau ke lokasi dan menyumbangkan RM200 000 untuk projek penyelenggaran longkang dan keperluan asas.
“Menteri Besar datang ke sini, semalam dan memberi bantuan, diharapkan kerajaan negeri menyalurkan peruntukan lebih besar bagi menaiktaraf premis perniagaan penduduk,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Huang Tiong Sii dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman melakuan lawatan kerja hari ini. Namun tiada sebarang kenyataan media daripada Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen Bentong diadakan.-SAHIH.