JANGAN TERPEDAYA SURAT PALSU
KUALA LUMPUR: UMNO hari ini menafikan sekeras-kerasnya surat yang tular kononnya presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kesembilan.
Parti itu melalui portal rasminya, UMNO Online, meminta semua pihak supaya tidak terpedaya dengan surat palsu berkenaan.
“.. Surat tersebut yang didakwa diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, menyebut Presiden bersama ahli Parlimen UMNO memberi kepercayaan yang tidak berbelah bagi kepada Anwar bagi menggantikan Perdana Menteri sedia ada.
“Justeru UMNO berharap agar ahli mahupun rakyat tidak mudah terpengaruh dengan fitnah yang cuba dilemparkan pihak tertentu,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, dalam satu surat bertarikh 11 Oktober 2020, yang didakwa dihantar Ahmad Zahid sendiri kepada Yang di-Pertuan Agong, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa berkata, sokongan tersebut turut didukung ahli-ahli Parlimen UMNO.
Selain nama dan tandatangan Ahmad Zahid sebagai pengutus, surat tersebut turut dilihat mempunyai tandatangan ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai saksi akuan berkenaan.
Bagaimanapun sumber yang rapat dengan Pejabat Najib turut menafikan kesahihan surat berkenaan.
Sumber: ASTRO Awani