Kelindan maut, pemandu patah tangan, kemalangan di Bukit Tinggi.
Foto atas : Lori treler terbabit dalam kemalangan di Bukit Tinggi.-Foto IPD Bentong.
Kelindan maut, pemandu patah tangan, kemalangan di Bukit Tinggi.
BENTONG – Seorang kelindan lori treler, V. Shunmugam berusia 69 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bentong, hari ini.
Manakala pemandu berusia 59 tahun patah tangan kerana terbabit dalam kemalangan dipercayai berpunca brek kenderaan itu gagal berfungsi semasa menuruni bukit di Kilometer 43 Lebuhraya Karak menghala ke Bentong dekat Bukit Tinggi, dekat sini pada jam 4.20 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan itu berlaku ketika lori treler tersebut terbabas semasa menuruni bukit.
“Kenderaan tersebut kemudiannya terbabas lalu melanggar penghadang konkrit di selekoh kawasan kejadian.
“Akibat kemalangan tersebut pemandu treler turut mengalami kecederaan patah tangan kiri manakala kelindan yang parah di bahagian kepala dan tangan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bentong,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Zaiham berkata, diharapkan semua pemandu sentiasa berhati-hati mematuhi peraturan jalan raya dan memastikan kenderaan masing-masing dalam keadaan penyelenggaraan yang baik. Kes kemalangan ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-SAHIH.