Penghuni rumah terkejut ular tedung sela depan pintu
Penghuni rumah terkejut ular tedung sela depan pintu
LIPIS – Seorang penduduk, Mohamad Aiman Zaimi berdepan detik cemas apabila seekor ular tedung selar berada di hadapan pintu rumahnya di Kampung Mentara Baru, Merapoh dekat sini pada jam 9.00 malam tadi.
Mohamad Aiman berkata, dia terdengar bunyi sesuatu yang bergerak di luar rumah dan menjangkakan ada seekor kucing dan terus membuka pintu rumahnya, dia terkejut dan cemas melihat seekor ular tedung selar dianggarkan sepanjang 2.44 meter (8 kaki).
“Saya terkejut serta berasa cemas apabila melihat seekor ular tedung selar yang agak besar melingkar tidak jauh dari pintu rumah.
“Melihat ular ini tidak mahu bergerak dari situ dan bimbang haiwan ini bertukar lebih agresif, saya pun segera menghubungi Balai Bomba Kuala Lipis untuk meminta bantuan menangkap ular ini,” katanya.
Mohamad Aiman bersyukur kerana dia dan ahli keluarganya di dalam rumah terselamat daripada gangguan ular tersebut selepas anggota bomba berjaya menangkapnya sejurus tiba di lokasi itu.
“Saya berterima kasih kepada anggota bomba yang cekap dan cepat bertindak menangkap ular tedung selar ini, manakala keluarga saya tidak lagi bimbang berikutan kemunculan haiwan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Zon Tiga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, ular tedung selar itu sepanjang 2.44 meter (8 kaki) berjaya ditangkap oleh anggota bomba dari Pusat Mencari dan Menyelamat Gunung Tahan (MOSAR), Merapoh.
“Seramai lima orang anggota dari pasukan Mosar, Balai Bomba Kuala Lipis bergegas ke tempat kejadian apabila menerima panggilan kecemasan.
“Setiba di lokasi, anggota bomba mengesahkan seekor ular tedung selar berlingkar di hadapan pintu rumah dan operasi menangkap terus dilakukan di lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini. -SAHIH.