‘Pokok jati tumbang hempap rakit, perahu, 2 enjin bot hanyut dibawa arus’
Foto atas : Pokok jati yang tumbang menghempap rakit dan perahu di tebing Sungai Tembeling. Foto ihsan penduduk Kampung Bantal.
‘Pokok jati tumbang hempap rakit, perahu, 2 enjin bot hanyut dibawa arus’
JERANTUT: Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kerugian hampir RM40,000 apabila rakit dan sebuah perahu miliknya musnah dihempap pokok jati yang tumbang, selain dua enjin botnya hanyut dibawa arus deras di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, dekat sini, pagi kelmarin.
Mohamad Salim Badi, 59, berkata kejadian berlaku pada jam 3 pagi ketika dia berehat di rumah selepas bertugas memantau dan menjaga keselamatan kampung susulan air naik melimpah serta arus deras di Sungai Tembeling.
“Saya dimaklumkan rakan mengenai kejadian ini dan bergegas ke tebing sungai serta mendapati pokok jati berdekatan tumbang dan menghempap keseluruhan rakit yang terletak di situ.
“Saya membina rakit berbumbung ini beberapa tahun lalu sebagai tempat perhentian bot penambang, selain untuk menyimpan peralatan keperluan menangkap ikan, enjin bot dan kadang kala sebagai tempat berehat,” katanya.
Mohamad Salim berkata, walaupun mengalami kerugian, tetapi beliau bersyukur kerana tidak berada di lokasi berkenaan ketika kejadian berlaku.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Bantal, Ulu Tembeling, Hamdan Ali berkata, kejadian berlaku ketika kebanyakan penduduk masih tidur kerana keadaan kampung masih hujan dengan sebahagian kawasan dinaiki air.
Sumber : Berita Harian.