Serah kepada PM untuk lantikan kabinet
Serah kepada PM untuk lantikan kabinet
ROMPIN – Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkaitan lantikan kabinet.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan dilantik semula sebagai menteri pertahanan memberitahu dia yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, tidak pasti sama ada dilantik atau tidak.
“Saya tidak tahu apa jawatan, saya tidak tahu dilantik atau tidak, serah kepada perdana menteri dan saya pun tak bertanya sampai hari ini,” katanya ketika ditemui media selepas ceramah umum PRU di Rompin malam tadi.
Barisan kabinet dijangka diumumkan selewat-lewatnya esok bagi membolehkan Jemaah Menteri baharu mengangkat sumpah sebelum hujung minggu ini.
Anwar dalam sidang media di Putrajaya pada 27 November lalu dilaporkan berkata sebarang pelantikan dalam kabinetnya tidak akan dibuat sebagai ganjaran bagi sokongan membentuk kerajaan.
Katanya, ini selaras dengan hasratnya untuk mengurangkan saiz Kabinet, tidak seperti di bawah pentadbiran terdahulu.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai kemungkinan wujud rasa kurang puas hati dalam kalangan ahli Amanah berikutan keputusan memberi laluan kepada BN di Tioman, Mat Sabu yakin perkara itu tidak akan menjadi isu.
“Rungutan itu perkara biasa, tapi insya-Allah kita dapat menguruskan, ini keputusan parti, bila keputusan parti, semua kena patuhlah.
“Kalau ada yang tak puas hati tu, saya ingat sementaralah, mereka akan patuh bersamalah dengan keputusan itu,” katanya.
Terdahulu ketika menyampaikan ceramahnya, Mat Sabu menyuarakan kebimbangan dengan tindakan sesetengah parti yang mula menggunakan pendekatan ekstremis selepas keputusan PRU15 lalu.
“Kebelakangan ini, Malaysia dilanda dengan fahaman-fahaman yang kurang menyenangkan. Saya boleh mengkritik Umno, saya boleh menghentam Barisan Nasional, saya boleh mengkritik DAP atau menghentam DAP, tapi hadirin sekalian, ada perenggannya.
“Jangan sampai dulu berlaku satu ketika sampai ke peringkat mengkafirkan Umno, saya bimbang, fahaman takfiri ini muncul semula sekarang.
“Kita lihat negara-negara di dunia yang hancur di atas fahaman takfiri iaitu tak setuju dengan kita, kita kafirkan orang itu, kita sesatkan orang itu, akhirnya berlakulah seperti di Syria, di Iran, di Iraq, di Somalia, berpuluh tahun tidak selesai (pertelingkahan) antara kaum akibat fahaman seperti ini,” katanya.
Dia turut mengingatkan PAS agar lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana negara ini mempunyai pelbagai kaum dan agama.
Katanya, sebarang tindakan mana-mana parti menghidupkan fahaman ekstrem tidak bagus untuk jangka panjang dan jangka pendek.
“Kita lihat pula video terbaru, kalau orang bukan Islam memerintah, orang Islam jadi pengembala babi, kalau orang Islam yang zalim memerintah, orang Islam jadi pengembala lembu, nak jadi pengembala babi ka nak jadi pengembala lembu – tanya presiden PAS.
“Apakah ini cara kita berpolitik di zaman ini? perlu kita perbaiki sebab negara kita masyarakat majmuk, tersalah langkah terjerumus kepada bahaya.
“Sebab itulah bagi kita, kita kena tubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan, BN dan lain-lain untuk melawan fahaman-fahaman yang boleh merosakkan Malaysia,” katanya lagi.
Ceramah umum itu adalah kali pertama dia berkongsi pentas dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) pasca PRU15 yang menyaksikan pembentukan kerajaan perpaduan membabitkan gabungan PH-BN dan beberapa parti lain.
Antara yang tampil dalam ceramah itu adalah pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi PH Pahang, Amiruddin Shari.-SAHIH.