POLIS CEDERA DISERANG
Berita Jenayah
POLIS CEDERA DISERANG
Bachok- Seorang anggota polis cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki di premis menjual shisha di Kota Bharu, Kelantan, malam tadi.
Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata, anggota berkenaan Lans Koperal Tuan Hafizuddin Tuan Mohamad Sukeli, 29 tahun daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu retak jari kanan selepas mempertahankan pegawainya ketika menjalankan operasi pematuhan SOP COVID-19 di Lembah Sireh, pukul 8.40 malam.
Menurut beliau kejadian berlaku selepas pemilik premis berkenaan tidak berpuas hati dan bertindak menghalang pasukan penguatkuasa termasuk anggota Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB-BRI) dan RELA untuk menjalankan tugas mereka untuk memeriksa premis terbabit.
Turut cedera dalam pergelutan tersebut, pegawai polis, Inspektor N Indra Nahu, 33 tahun yang dicakar dan ditumbuk di pipi.
Beliau memberitahu pemberita selepas menziarahi anggotanya, Lans Koperal Tuan Hafizuddin di Kg Perupok, Bachok, Kelantan petang tadi.
Dalam operasi pematuhan SOP COVID-19 itu, polis berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 23 hingga 28 tahun, termasuk pemilik premis.
Salah seorang suspek, mempunyai rekod dadah.
Susulan kejadian terbabit, seorang lagi suspek berjaya ditahan pada jam 3.40 pagi tadi di sekitar Machang dan pihak polis akan terus memburu seorang lagi rakan mereka yang masih bebas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan 186 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan penjawat awam dan menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugas dan kesemua suspek akan direman selama empat hari.
Sementara itu, menurut Hafizuddin, sejak enam tahun bertugas sebagai anggota polis, beliau seringkali berhadapan dengan situasi terbabit, namun kejadian malam tadi adalah yang paling menakutkan memandangkan kumpulan terbabit terlalu ramai dan mereka bertindak agresif melawan pasukan pemantau yang bertugas.
Dalam pada itu, DCP Shafien menasihatkan agar seluruh masyarakat memberi kerjasama sepenuhnya kepada PDRM serta penguatkuasa lain untuk menjalankan pemantauan serta patuh Prosedur Operasi Standart (SOP) COVID-19 yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengelakkan mereka dikompaun.
BH Online