PERIKATAN NASIONAL HANYA KERAJAAN CAMPURAN
Berita Politik
PERIKATAN NASIONAL HANYA KERAJAAN CAMPURAN
TEMERLOH: UMNO atau Barisan Nasional (BN) tidak pernah berada dalam organisasi Perikatan Nasional (PN), sebaliknya hanyalah kerajaan campuran yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, kalau bukan kerana sokongan 39 ahli Parlimen UMNO dan BN, berkemungkinan Muhyiddin tidak mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.
“Selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah (Tun Dr) Mahathir dulu, kemudian tidak ada persefahaman untuk (menubuhkan) kerajaan baharu, akhirnya ketika itu ahli Parlimen (UMNO) memberi sokongan kepada (Tan Sri) Muhyiddin… ketika itu tidak timbul lagi Perikatan Nasional ini.
“Selepas tertubuhnya kerajaan ini, maka Tan Sri (Muhyiddin) dan BERSATU membawa usul untuk menubuhkan Perikatan Nasional… ketika itu kita sudah ada Muafakat Nasional… kerjasama antara UMNO dan PAS.
“Soal kita keluar (Perikatan Nasional) itu tidak timbul… cuma soalnya sama ada kita meneruskan atau tidak sokongan dan perkara ini kita (Majlis Tertinggi UMNO) akan mengadakan mesyuarat (dalam masa terdekat),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan media dibuat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas mesyuarat Biro Politik UMNO, lewat malam semalam.
Mohd Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Komoditi Pahang berkata, keputusan itu dibuat Biro Politik UMNO dan perkara berkenaan perlu dibincang oleh Majlis Tertinggi sebelum sebarang keputusan dibuat.
Katanya, semakan semula kerjasama antara UMNO dan BERSATU bukanlah bermakna kerajaan Perikatan Nasional sudah tidak berfungsi, namun ia adalah perkara biasa kerana perjanjian asal perlu dipertimbangkan dan dinilai semula mengikut keperluan semasa.
“Semakan atau review balik perjanjian asal perlu (dilakukan) kerana ada perubahan berlaku… ini perkara biasa… dalam mana-mana perjanjian pun, kita ada hak untuk melakukan semakan semula… kena ikut situasi semasa dan saya percaya Biro Politik pun ada asas (alasan) untuk membuat keputusan itu.
“Kita bukan keluar lagi (dari Perikatan Nasional)… kita sedang mempertimbangkan,” katanya sambil mengakui bahawa suasana politik negara untuk penggal ini sangat mencabar.
Beliau berkata, apa sahaja keputusan dibuat Majlis Tertinggi UMNO akan mengambil kira semua faktor, terutamanya keselamatan dan kebajikan rakyat yang kebanyakannya masih terkesan dengan COVID-19.