KUTIPAN DERMA UNTUK TABUNG WAKAF
FELDA WILAYAH JENGKA LANCAR KUTIPAN DERMA UNTUK TABUNG WAKAF
JERANTUT: FELDA Jengka 24 dipilih sebagai lokasi pertama sempena pelancaran Tabung Wakaf FELDA, peringkat FELDA Wilayah Jengka.
Sejumlah RM300 dikutip sempena pelancaran itu yang berlangsung hari ini.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata konsep kutipan itu adalah bersedekah sambil beramal bagi meringankan bebanan mereka yang memerlukan.
“Untuk Tabung Wakaf FELDA ini, ia adalah cetusan idea Pengerusi FELDA Datuk Seri Idris Jusoh dan kita di peringkat FELDA Jengka 24 memang sangat menyokong usaha ini.
“Kita harap inisiatif ini turut mendapat sokongan dan kerjasama baik daripada semua warga peneroka tanah rancangan dalam Wilayah Jengka.
“Semua kutipan akan dikumpulkan terlebih dahulu dan kita akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dalam masa terdekat untuk menyerahkan kutipan ini,” katanya.
Beliau berkata, pelancaran Tabung Wakaf ini juga adalah sebahagian daripada hasrat Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh yang ingin melihat warga peneroka mempunyai dana kecemasan tersendiri jika berdepan masalah atau kesulitan pada masa akan datang.
Katanya, semua kutipan bagi Tabung Wakaf FELDA akan digunakan untuk membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.