600 pesalah jalani PKW di Pahang berjaya harungi kehidupan
600 pesalah jalani PKW di Pahang berjaya harungi kehidupan
TEMERLOH – Seramai 600 pesalah telah menjalani Perintah Kehadiran Wajib (PKW) di Negeri Pahang termasuk seorang pesalah syariah mendapat reaksi positif daripada masyarakat untuk menerus dan membina kehidupan seperti biasa.
Dalam memastikan kejayaan Orang Diparol (ODP) mengharungi pemulihan dalam komuniti, pelbagai program intervensi yang diaturkan turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Program Smart Internship (CSI) yang bermula sejak tahun 2016.
Timbalan Menteri 1, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, ternyata program dan kerjasama ini telah mendatangkan kesan positif terhadap ODP terutama di dalam membina masa hadapan mereka yang lebih baik.
“Program yang dilaksanakan oleh pihak penjara Malaysia memberi kesan yang terbaik dan dipuji terutama penerimaan majikan yang menerima mereka bekerja di tempat masing-masing.
“Malah, masyarakat turut menerima penglibatan ODP dan PKW bersama masyarakat secara tidak langsung membantu golongan ini membina kehidupan dengan baik,” katanya kepada media di Majlis Program Outreach bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 di Kerdau, Temerloh , hari ini.
Katanya, program yang diadakan adalah salah satu program yang berkala dan sentiasa diadakan dengan melibatkankan kakitangan, ODP, Orang Bebas Berlesen (OBB), Pesalah PKW, majikan, pemimpin masyarakat, keluarga dan masyarakat setempat.
“Dalam mengintegrasikan ODP dan OBB ke dalam masyarakat terdapat banyak cabaran dan dugaan yang perlu dilalui oleh golongan ini sendiri dan sewajar memerlukan peranan pelbagai pihak.
“Cabaran yang paling besar untuk mereka ialah untuk menyesuaikan diri dan mendapatkan penerimaan masyarakat, maka pihak pengurusan parol negeri dan daerah sentiasa bekerja keras untuk meyakinikan orang ramai,” katanya.
Katanya, untuk memastikan statistik kejayaan pematuhan perintah parol ini terus ditingkatkan dan dapat memberi keyakinan bagi mengurangkan stigma negatif masyarakat terhadap ODP dan OBB.
“Hebahan dan pendidikan komuniti sentiasa digerakkan agar masyarakat memahami dengan memberi sokongan dan kerjasama bagi membantu menjayakan sistem parol dan pelepasan secara berlesen ini.
“Sokongan ini juga dapat membantu ODP dan OBB agar mereka diterima dan diberi peluang untuk berubah dengan menjadi warga yang produktif dengan tidak mengulangi kesalahan yang lampau,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Ibrisam Abdul Rahman, Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain dan Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin.
Sementara itu, seorang OBB, Mohamad Fadzrul Hakim Lokman (35) telah berjaya mengusahakan kebun halia seluas seekar di Pekan dan menjana pendapatan kira-kira RM10,000 sebulan.
“Sebagai orang yang pernah masuk penjara, saya perlu menunjukkan contoh terbaik dengan menjalankan kerja yang boleh membantu saya meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Awalnya memang sukar untuk ‘masuk’ dalam masyarakat tetapi kini masyarakat sudah mula boleh menerima orang seperti saya, malah ada kawan-kawan yang berjaya dengan kerja masing-masing,” katanya.-SAHIH.