Jangan jadikan masjid medan politik – Agong
Jangan jadikan masjid medan politik – Agong
MARAN -Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al -Mustafa Billah bertitah melarang jangan jadikan masjid gelanggang politik yang boleh memecah belah keutuhan ummah dan masyarakat.
Titah baginda, jangan cemari kesucian rumah Allah, jangan jadikan tempat cerca sesama umat dan jangan jadikan gelanggang permainan politik di masjid.
“Kalau hendak berpolitik jangan dalam masjid, berpolitik di luar masjid, jangan pertikai arahan ini demi kesejahteraan dan kebaikan umat Islam dan orang Melayu.
“Saya memang tidak membenarkan mana-mana pihak berpolitik dalam rumah Allah, pengurusan masjid di negeri Pahang perlu menjaga amanah dan telus mengurus rumah Allah dengan ikhlas,” titahnya.
Selain itu, masjid perlu berperanan sebagai pusat sehenti setempat dengan berperanan dengan pelbagai aktiviti masyarakat.
“Pihak pengurusan sewajar proaktif dan kreatif dengan merancang pelbagai program yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak.
“Selain tempat sebagai mengerjakan ibadah, program seharusnya turut melibatkan orang bukan Islam demi memberi penerangan, memahami dan rapat dengan penganut agama Islam sebagai wadah penyatuan ummah.
Titahnya, pengurusan masjid perlu memikat golongan orang muda untuk lebih rapat dan kerap ke masjid.
“Apabila jiwa muda dan remaja tidak menghayati sepenuhnya ajaran Islam ini bakal merosakkan sistem masyarakat Islam.
“Pendekatan yang baik dapat mengupaya dan memperkasakan masyarakat dengan realiti dengan zaman sekarang sebagai benteng masyarakat terakhir,” titahnya.
Titah baginda di majlis Perasmian Masjid Baharu Bandar Tun Abdul Razak, Jengka kepada Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Maran.
“Masjid boleh memperkembangkan aktiviti lain seperti perekonomian, pembelajaran dan kemasyarakatan
“Berusaha lebih giat mengimarahkan masjid sebagai tempat umat Islam antara manusia dengan Allah dan antara manusia dengan manusia, ” titah baginda.-SAHIH.