Isteri ketua peneroka Felda Mengkuang dibunuh dengan wayer pengecas telefon
Isteri ketua peneroka Felda Mengkuang dibunuh dengan wayer pengecas telefon
BERA – Isteri kepada Ketua Peneroka di Felda Mengkuang, Triang meninggal dunia dipercayai dijerut dengan wayer pengecas telefon oleh penceroboh yang masuk ke dalam rumah mangsa itu.
Wanita itu, Siti Zuliana Said, 52, meninggal dunia dipercayai dibunuh suspek yang masuk ke dalam rumah mangsa pada waktu awal pagi melalui pintu belakang rumah dan masuk ke bilik tidur mangsa
Pemangku Ketua Polis Daerah, DSP N. Kumaran berkata, wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kami percaya, suspek menggunakan wayer pengecas telefon untuk menjerut leher mangsa, malah, suspek juga turut mencederakan di bahagian kepala suami mangsa yang berusia 60 tahun.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai turut melarikan wang tunai RM 6,000 dan kereta milik suami mangsa jenis Honda City, no plet DAD 9799,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, suami mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk rawatan.
“Kes dipercayai bermotifkan samun, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan diteruskan,” katanya.
Jiran mangsa, Saaniah Naim (56) berkata dia baru bertemu arwah pagi tadi dan arwah telah singgah di gerainya untuk membeli nasi lemak dan kuih-muih.
“Arwah memohon maaf kerana akan pergi menunaikan ibadah umrah, sebelum itu arwah turut membeli pau, popia, karipap dan sebungkus nasi.
“Sayu sungguh sebab tak sampai 3 jam jumpa dengan arwah dan saya dimaklumkan arwah dah tiada, sebelum itu arwah singgah di gerainya selepas pulang berjalan kaki dari masjid,”katanya.
Anak bongsu kepada mangsa, Muhammad Khairi Ramadan Mohd Haris, 22, langsung tidak menyedari kejadian yang berlaku terhadap ibunya.
Menurutnya, pada awal pagi, dia dan ibunya sempat ke masjid bersama-sama tetapi dia pulang ke rumah bersendirian kerana ibunya mahu mengaji.
“Saya pun tak tahu, kemungkinan suspek sudah berada di dalam rumah dan mengelabah kerana ibu saya baru pulang dan rumah saya tidak berselerak mungkin suspek telah menjumpai wang tunai dan terus mengetuk kepala ayah.
“Saya sedar bila ayah panggil saya memberitahu dia sakit kepala dan paip air dalam bilik air bocor, pada ketika itu saya sedang berehat di dalam bilik setelah pulang dari masjid,”katanya.-SAHIH.