Mokhtar tidak mahu kekurangan fizikal menyekat untuk berniaga
Mokhtar tidak mahu kekurangan fizikal menyekat untuk berniaga
JERANTUT – Seorang pemborong durian di Kampung Damak, Jerantut, Abdul Mutalib Mamat, 63, tidak mahu menjadikan alasan besar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dan hanya menunggu belas kasihan dan bantuan orang.
Kekurangan fizikal di bahagian kaki itu tidak mematahkan semangatnya untuk berjaya dalam perniagaan sebagai pemborong buah durian di sekitar kampung tersebut.
Katanya, dia mengalami kecacatan di kaki berpunca demam panas sejak berusia 4 tahun, namun, dari keluarga susah, dia ingin terus bersemangat dan berjaya.
“Kudrat yang ada, saya digunakan sejak berusia remaja dengan menjual durian yang saya beli daripada orang kampung dan menjualnya di tepi jalan di pekan Damak, bandar Jerantut malah pernah ke bandar Temerloh.
“Setelah lama menjual di jalanan, saya berkecimpung sebagai pemborong hampir 35 tahun dalam penjualan durian, saya mampu menjalankan perniagaan dan sekarang menerima penghantaran hasil durian daripada penduduk di Damak,” katanya ditemui di Pusat Pengumpulan Hasil Durian Pekan Damak, hari ini.
Katanya, dengan berkenderaan motosikal roda tiga, dia dapat bergerak dan mengambil buah daripada pekebun yang tidak dapat menghantar raja buah itu ke pusat pengumpulan.
“Pekebun durian di sekitar sini sudah tahu dan terus menghantar kepada pusat pengumpulan untuk dijual kepada saya.
“Sekarang saya menggunakan khidmat pembantu mengangkat bakul durian untuk ditimbang dan seorang lagi membantu mengira berat timbangan durian dan membayar kepada pekebun, selain itu sebagai memberi peluang khususnya anak muda memperolehi pendapatan sampingan,” katanya.
Katanya, dia pernah pergi ke Kelantan untuk urusan mencari durian jenis terbaik untuk dibeli, orang di sana terkejut dengan keadaan fizikalnya yang mampu menjalankan urusan jual beli seperti orang lain.
Menurut Mokhtar, selain buah jenis Musang King, dia turut menjual puluhan jenis buah durian termasuk Durian Premium Kampung (DPK) seperti Mas Hijau, Aji Aziz, Seri Damak, Kulit Buaya, Kepala Gajah, Damak King (Tok Merah), Tembaga Damak, Tangkai Panjang, Buloh Poh, Damayau, Damachi, Saka Damak, Panglima, Nona Lipis, Jantung, Askar, IOI, Munthong dan sebagainya.
Lebih istimewanya, Mokhtar sudah 35 tahun sebagai peraih dan peniaga buah durian di pekan Damak dapat mengenali jenis atau klon durian dengan hanya memandang, memegang, menggoncang dan mencium kulit sudah dapat meneka baka berkenaan malahan tahu sama ada durian itu masak atau sebaliknya.
“Kebiasaanya, pemilik dusun akan membawa buah durian yang bercampur jenisnya dan kemungkinan ada yang belum masak. Sebelum ditimbang, saya akan memilih yang masak dan elok termasuk mengasingkan jenis atau klon dan buah durian premium kampung (DPK).
“Kemahiran mengenali buah ini amat penting kerana saya akan menerangkan kepada pelanggan atau penggemar keistimewaannya dari segi rasa, bau dan warna isi setiap jenis buah durian ini termasuk harga supaya memuaskan hati mereka,” katanya.
Mokhtar yang masih bujang selanjutnya menjelaskan, kebiasannya dia akan memberikan pelanggan yang datang secara berkumpulan dan rombongan merasa dan makan dahulu sebagai ‘tester’ sebelum membeli durian yang dicadangkan.
“Sambil itu, saya memberikan penerangan yang lengkap dan kemudiannya baharulah mereka memilih jenis durian yang disukai serta ditimbang untuk mengetahui harga sebelum dibawa pulang.
“Malah, saya turut memberikan jaminan kualiti buah dan sekiranya berlaku kerosakan seperti buruk dan berulat bahagian dalam, mereka boleh datang semula untuk digantikan dengan buah yang baharu,” katanya.
Katanya, dia bersyukur dengan pendapatan bermusim dianggarkan antara RM20,000 hingga RM30,000 setahun dan turut menjual buah durian bermusim lain seperti dokong, langsat dan rambutan yang turut terdapat di sekitar kampung itu.-SAHIH.