Lelaki cedera, rumah rentung terbakar di Raub
Lelaki cedera, rumah rentung terbakar di Raub
RAUB – Seorang lelaki berusia 41 tahun mengalami kecederaan selepas rumahnya musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Sungai Chalit, di sini pada jam 9.00 pagi, hari ini.
Mangsa, Lhew Sey Leuy yang mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Raub oleh ambulans Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut akibat melecur di bahagian muka dan tangan.
Ketua Zon 3 Bomba dan Penyelamat Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, anggota Bomba dan Penyelamat Raub menerima panggilan kecemasan pada jam 9.14 pagi lalu bergegas ke tempat kejadian.
“Ketika tiba di tempat kejadian, kita mendapati sebuah rumah jenis separuh kekal telah musnah terbakar.
“Seramai 11 anggota terdiri daripada pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dan BBP Bentong dengan dibantu 13 orang anggota Bomba Sukarela Sungai Klau beraya memadam api,’ katanya.
Menurut Shahrul Nizam, anggota bomba memadamkan api dengan menggunakan dua aliran nozel bagi mengelak api merebak ke rumah jiran berdekatan.
Katanya, api dapat dikawal dalam tempoh 15 minit dan punca kejadian serta taksiran kerugian masih dalam siasatan.
“Anggota bomba terus membuat pemeriksaan sehingga api padam sepenuhnya serta pemantauan keselamatan sebelum pulang ke BBP Raub dan BBP Bentong,” katanya.
Shahrul Nizam selanjutnya menasihatkan semua pemilik kediaman supaya memberikan tumpuan ketika memasak dan elakkan ke dapur sekiranya keadaan badan letih dan mengantuk.
“Keadaan dapur perlu bersih dan tanpa berminyak selain memastikan peralatan elektrik diperiksa dan ditutup selepas digunakan,” katanya.-SAHIH.