Sepuluh pasangan saudara baharu Orang Asli Islam etnik Semai diijabkabul di Betau, Lipis
Foto atas : Pasangan saudara baharu Orang Asli etnik Semai yang selamat menjalani akad nikah dan bergelar raja sehari sempena Majlis Walimatul Urus Saudara Baharu Orang Asli anjuran Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) di Pos Betau, Lipis, semalam.
LIPIS – Sebanyak 10 pasangan Orang Asli Islam daerah ini telah menjalani majlis akad nikah secara beramai-ramai sempena Walimatul Urus Saudara Baharu Orang Asli anjuran Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) di Pos Betau, Ulu Jelai dekat sini, semalam.
Majlis itu dilaksanakan oleh Timbalan Kadi Lipis, Wan Mohd Azrul Wan Adnan dan Penolong Pendaftar Nikah Ulu Jelai, Mokhtar Mat Taha kepada sepuluh pasangan yang berusia antara 18 hingga 40 tahun dari penduduk Orang Asli etnik Semai dari Kampung Orang Asli Betau, Pantos, Sungai Padi dan Sungai Temetong dekat sini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Mohd Fadzli Mat Saman antara tetamu utama yang hadir turut menyaksikan acara akad nikah itu.
Beliau turut menyampaikan tazkirah mengenai perkahwinan dari perspektif Islam termasuk adab hubungan suami isteri, adab hubungan dengan ibu bapa dan keluarga kedua belah pihak pasangan, nafkah pasangan, keharmonian rumah tangga, dan panduan lafaz taklik.
Pembantu Hal Ehwal Islam, Pejabat Kadi Lipis yang juga penyelaras program, Muhammad Syafiq Abdul Aziz berkata, program walimatul urus pasangan saudara baharu Orang Asli diadakan setiap tahun antara usaha Muip Cawangan Lipis untuk meringankan belanja pengurusan menerusi majlis perkahwinan beramai-ramai.
“Apa yang lebih penting usaha dakwah kita untuk mengajak penduduk Orang Asli mendekati Islam antaranya dengan mendedahkan majlis akad nikah dan perkahwinan secara teratur, mudah dan sempurna menurut Islam.
“Majlis kenduri-kendara dan atur cara mengikut adat orang Melayu turut dibiayai serta diadakan secara bergotong-royong oleh kakitangan MUIP cawangan Lipis, Pejabat Kadi, Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA) daerah ini,” katanya.
Katanya, majlis itu turut dimeriahkan dengan cara perkahwinan adat orang Melayu seperti diarak dengan bunga manggar, bersanding di pentas, makan beradab serta berpakaian sedondon oleh pasangan tersebut.
Sementara itu, pasangan pengantin Pos Betau, Anuar Bah Jat, 31, berkata, dia gembira dan bersyukur dapat ke jinjang pelamin setelah melafazkan akad nikah dengan Roslin Lawat, 27, iaitu rakan sekampung yang sudah dikenali lebih lima tahun lalu.
“Sebelum ini, kami sudah lebih dua tahun melafazkan kalimah syahadat dan mendalami hal ehwal Islam menerusi bimbingan petugas PePIMA yang berkhidmat di kampung ini.
“Saya berasa lega kerana sudah selesai diijabkabul hari ini dan kini akan mencongak kebahagian rumah tangga, memperoleh zuriat kami dan paling utama iaitu untuk mendalami Islam untuk menjadi insan yang soleh di dunia dan akhirat,” katanya.-SAHIH.