Dua remaja hilang ditemui mati di ruang parkir basement sebuah bangunan residensi, Cheras
Foto atas : Mayat dua remaja ditemui dalam Toyota Alphard di kawasan parking basement sebuah residensi di Bandar Sri Permaisuri, Cheras. – Foto polis
Dua remaja hilang ditemui mati di ruang parkir basement sebuah bangunan residensi, Cheras
KUALA LUMPUR – Dua mayat remaja yang dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing minggu lalu ditemui mati dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di ruang parkir basement sebuah bangunan residensi di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini, Ahad lalu.
Kedua-dua mayat remaja tersebut berusia 19 tahun ditemui selepas polis menerima aduan daripada orang awam pada jam 8.26 malam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata susulan laporan diterima, sepasukan anggota polis dari Bandar Salak Selatan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui mayat perempuan di bahagian penumpang hadapan dan mayat lelaki di bahagian penumpang belakang kenderaan terbabit.
“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh kedua-dua mangsa serta tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kata Muhammad Idzam, dua laporan polis mengenai kehilangan dua mangsa diterima daripada keluarga masing-masing pada 23 dan 24 Mei lalu, masing-masing di Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.
“Setelah kedua-dua keluarga gagal menghubungi mangsa, laporan polis dibuat, seorang mangsa adalah penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam manakala seorang lagi bakal masuk ke sebuah institut perguruan.
“Siasatan awal mendapati hubungan kedua-dua mangsa adalah rakan dan bukan penduduk di residensi terbabit. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut diteruskan,” katanya.
Muhammad Idzam berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan polis.
Maklumat boleh disalurkan terus kepada Ketua Polis Balai Salak Selatan, Inspektor Muhd Arfizan Ab Aziz di talian 019-9198729 atau Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051.
Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.-SAHIH.