Bantu awal persekolahan untuk murid Tahun Satu negeri Pahang tahun ini
Bantu awal persekolahan untuk murid Tahun Satu negeri Pahang tahun ini
Foto atas : Majlis penyampaian Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) Yayasan Pahang kepada pelajar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai dan DUN Tanah Rata di Sungai Koyan dekat sini hari ini.-Foto Pahang Media.
LIPIS – Seramai 23,617 orang murid Tahun Satu yang bakal memulakan sesi persekolahan pada 21 Mac ini akan menerima manfaat bantuan awal persekolahan bernilai RM100 seorang yang melibatkan peruntukan berjumlah RM2.36 juta.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program bantuan awal itu untuk murid Tahun Satu antara inisiatif yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebelum ini untuk memberikan galakan dan semangat murid berkenaan apabila melangkah masuk ke sekolah tidak lama lagi.
“Bantuan ini diberikan kepada semua murid Tahun Satu di Pahang tanpa mengira bangsa, agama, latar belakang dan ras akan diberikan dalam masa terdekat.
“Waris murid tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri telah memudahkan cara pemberian bantuan dengan memperoleh maklumat murid secara automatik daripada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) Yayasan Pahang kepada pelajar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai dan DUN Tanah Rata di Sungai Koyan dekat sini hari ini.
“Saya berharap insiatif kerajaan negeri ini dapat meringankan beban perbelanjaan serta keselesaan ibu bapa dan penjaga murid berkenaan membuat persiapan persekolahan anak mereka tahun ini
“Inisiatif dalam bantuk bantuan ini merupakan hasrat utama saya sebagai Menteri Besar Pahang untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, berkemahiran, matang serta seimbang yang menjadi agenda penting kerajaan negeri memberikan tumpuan sektor pendidikan,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Wan Rosdy menjelaskan kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM13.6 juta untuk program Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) di bawah Yayasan Pahang kepada pelajar di seluruh negeri tahun ini.
“Program biasiswa ini untuk membantu pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana bagi persiapan memulakan sesi awal persekolahan tahun ini tidak lama lagi.
“Setiap orang pelajar akan menerima menerima RM300 setahun bagi penerima Sekolah Rendah, manakala bagi Sekolah Menengah pula akan menerima RM600 tempoh yang sama,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai selanjutnya berkata, seramai 392 orang pelajar Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah kawasan Jelai dan Tanah Rata menerima biasiswa tersebut dan akan diikuti pemberian inisiatif yang sama di semua Dewan Undangan Negeri dalam masa terdekat.
“Kita juga memperkenalkan program bantuan di bawah inisiatif Pahang Pride Student antara usaha yang sama bagi membantu keluarga berpendapatan rendah dan sederhana sebagai persiapan persekolahan penghujung bulan Mac ini.
“Kerajaan negeri dengan dibantu oleh semua agensi kerajaan akan terus berbakti serta memberikan sumbangan kepada rakyat, seperti kata orang-orang tua, ‘Hidup kayu berbuah, hidup kita manusia ini biarlah berjasa,” katanya.-SAHIH.