Penganggur 40 tahun ditahan miliki dadah
Penganggur 40 tahun ditahan miliki dadah
LIPIS – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menyerbu sebuah rumah dan menahan seorang penganggur lelaki berusia 40 tahun dalam operasi Op Tapis di Felda Kechau 1, dekat sini pada jam 11.30 malam, semalam.
Dalam serbuan tersebut, pihak polis menjumpai satu kotak plastik lampu suluh warna hijau bercetak ‘USB charge’ di atas lantai ruang tamu rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, pemeriksaan dilakukan dan didapati di dalam kotak itu dengan disaksikan suspek telah menjumpai sebelas paket plastik lutsinar yang di dalamnya mengandungi serbuk berwarna merah jambu disyaki dadah jenis Heroin.
“Anggaran berat dadah tersebut 15.06 gram dan nilai pasaran dadah tersebut dianggarkan RM 527, suspek telah menjalani ujian saringan Covid-19 di Hospital Kuala Lipis dan hasil saringan awal didapati negatif, manakala ujian air kencing mendapati positif Metafetamin dan diserahkan untuk tindakan selanjutnya.
“Suspek ditahan di bawah Sek. 39B Akta Dadah berbahaya (ADB) 1952 dan Sek. 15(1)(a) ADB 1952, dan ditahan direman pada 3 Mac untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berharap, orang ramai memainkan peranan dalam menangani aktiviti penyalahgunaan dadah di tempat masing-masing dengan melapor segera sebarang aktiviti yang tidak bermoral itu kepada pihak polis.
“Kerjasama orang awam boleh membantutkan pengedaran dadah demi keharmonian masyarakat di tempat masing-masing dan juga generasi muda,” katanya.-SAHIH.