Misi kemanusiaan Keluarga Malaysia
Misi kemanusiaan Keluarga Malaysia
Foto atas: Wakil pusat tahfiz dan mangsa banjir bersama-sama sukarelawan PJMM dan PJNH dalam Program ‘Kasihku Tertumpah di Negeri Pahang’ di rumah aktivis masyarakat, Rosmawati Mohd Hanafiah di Kampung Seberang Guai, Bera, baru-baru ini.
TEMERLOH – Misi kemanusiaan mangsa banjir anjuran Pusat Jagaan Mahmudah (PJMM) dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) dari Selangor menginfakkan 600 naskhah al-Quran, kelengkapan solat dan barangan makanan keperluan asas, baru-baru ini.
Program itu ibarat pengakhiran sementara misi kemanusiaan mangsa banjir mengambil aspirasi daripada konsep Keluarga Malaysia di untuk beberapa pusat, pondok dan madrasah tahfiz serta kepada beberapa keluarga di sekitar Temerloh, Mentakab, Bera, Triang dan Chenor yang menjadi mangsa banjir.
Pengerusi bersama program berkenaan, Mohiadin Bahado, berkata program itu dilaksanakan apabila mendapat maklumat daripada beberapa aktivis masyarakat di kawasan terbabit yang memaklumkan banyak al-Quran dan kelengkapan solat di pusat pengajian agama terbabit rosak digenangi banjir.
Katanya, mereka berjaya mengumpul sejumlah besar al-Quran, barangan makanan keperluan asas dan dana dalam beberapa minggu sahaja
“Kami berasa amat terharu apabila seorang dermawan Datin Zainab Ismaun menginfak dana dalam bentuk wang untuk diagihkan kepada keluarga mangsa banjir dan serta pusat tahfiz terbabit bagi meringankan bebanan mereka.
“Pelbagai pihak yang menginfak al-Quran dan barangan makanan keperluan asas turut menyuarakan rasa simpati kepada mereka yang menjadi mangsa banjir kerana akan berasa tertekan dengan kerja-kerja pemulihan dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih merebak.
Katanya, jika masih ada pusat, pondok dan madrasah tahfiz yang memerlukan infak al-Quran dan kelengkapan solat khasnya, mereka akan cuba ikhtiarkan untuk mengumpulnya dengan mendapatkan sumbangan daripada pelbagai pihak.
Sementara itu, Ketua Kampung Seberang Guai, Bera, Safie Yahya berkata, beliau berasa terharu walaupun bencana banjir sudah berlalu lebih sebulan namun masih ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masih sanggup turun padang membantu keluarga mangsa banjir dan pelajar pusat tahfiz.
“Walaupun sudah mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan dan NGO selain perhatian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, namun infak al-Quran serta kelengkapan solat amat dihargai khusus kepada pelajar pusat tahfiz terbabit yang rata-rata datang daripada keluarga miskin dan anak yatim.
“Infak al-Quran itu bertepatan dengan sempena bulan Rejab selain untuk mengimarahkan sambutan Ramadan supaya aktiviti agama di pusat tahfiz terbabit dapat berjalan lancar seperti sebelum bencana banjir dan pandemik Covid-19,” katanya.-SAHIH.