100 pelajar tidak ke sekolah, kakitangan KTMB digantung tugas
100 pelajar tidak ke sekolah, kakitangan KTMB digantung tugas
Gambar atas: Pelajar balik ke rumah setelah menunggu tren tidak berhenti di Stesen Kuala Gris
KUALA KRAI – Kegagalan tren Shuttle Timuran nombor 51 yang berlepas dari Stesen Tumpat pada jam 4.05 pagi tadi, tidak berhenti di Stesen Kuala Gris pada jam 7.08 pagi, pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggantung tugas kakitangan kejadian berkenaan.
Kejadian itu mengakibatkan 100 pelajar tidak dapat ke sekolah pada hari pertama penggal ketiga 2021/2022, pagi semalam.
KTMB dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan disiplin akan diambil sekiranya didapati berlaku kecuaian kejadian tren tidak berhenti di Hentian Kuala Gris.
“KTMB kesal dengan kejadian itu yang melunturkan semangat hari pertama persekolahan penggal ketiga yang bermula hari ini membabitkan 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong yang baru memulakan semula sesi persekolahan, hari ini (semalam).
“Pihak pengurusan KTMB memohon maaf kepada pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah yang terbabit, serta kesal atas kejadian yang berlaku,” katanya.
Mengikut penduduk setempat, perjalanan dengan tren dari stesen Kuala Gris ke SMK Dabong mengambil masa 17 minit berbanding dengan kenderaan sejauh 10 kilometer mengambil masa 25 minit.
Semua pelajar yang terbabit dengan kejadian tidak dapat ke sekolah terpaksa pulang semula ke rumah masing-masing.-SAHIH