Pemenang Ford Mustang, Ducati orang yang sama?
Pemenang Ford Mustang, Ducati orang yang sama?
PETALING JAYA – Keberuntungan seorang lelaki dari Johor yang memenangi cabutan bertuah sebuah kereta Ford Mustang pada satu pertandingan memancing baru-baru ini menjadi tanda tanya pada orang ramai.
Ketika ini, ramai yang mendakwa kemenangan cabutan bertuah tersebut adalah dirancang apabila lelaki tersebut turut dikatakan pernah memenangi sebuah motosikal berkuasa tinggi pada tahun 2017.
Tuduhan tersebut semakin tepat apabila beberapa foto lelaki tersebut yang mendapat motosikal Ducati Panigale 1199 telah ditularkan di media sosial.
Pada tahun 2017, lelaki berusia 24 tahun itu telah memenangi cabutan bertuah Ducati itu pada satu acara permotoran, Motoday Penang 2017.
Kemudian pada satu acara pertandingan memancing baru-baru ini, lelaki bertuah itu sekali lagi memenangi kereta mewah berjenama Ford Mustang.
Rata-rata orang ramai yang mendakwa kemenangan itu telah dirancang oleh penganjur telah mencari akaun Facebook lelaki tersebut yang menggunakan nama Pakcik Ku telah dinyah aktif ketika ini.
“Tak tahu nak kata betul atau tidak, tapi kalau kita lihat pada gambar dan bukti-bukti yang ada ternyata benda ni betul.
“Malas nak tuduh tapi kalau betul telah dirancang harapnya penganjur tu bertaubatlah. Jangan cari keuntungan dengan cara macam ni,” jelas Redzuan Elias, lapor kosmo online
“Netizen sekarang sudah bijak, sekejap je orang tahu. Tambah-tambah acara ini besar. Katanya yuran untuk dapatkan nombor cabutan pun dah RM60.
“Kalau dikali dengan beribu manusia yang hadir memang untung sangat la penganjur. Orang pergi sebab letak hadiah cabutan yang mewah. Melayu cukup-cukup lah menipu,” jelas Saifullah Abdullah.