Pengeluaran sijil lahir di Sabah tergendala kerana stok kertas habis
Pengeluaran sijil lahir di Sabah tergendala kerana stok kertas habis
KOTA KINABALU – Pengeluaran sijil kelahiran di Sabah tertangguh disebabkan kertas yang digunakan untuk mencetak dokumen berkenaan habis, kata Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, Khairrul Aminus Kamaruddin.
Menurutnya stok kertas sijil kelahiran JPN Sabah pada tahun ini adalah sebanyak 24,801 keping namun bekalannya terputus dan kehabisan stok pada awal Okt lepas.
“Setakat ini, sijil kelahiran yang tertangguh atau menunggu stok untuk cetakan adalah kira-kira 3,200 permohonan.
“Kelewatan pengeluaran sijil lahir berkenaan adalah disebabkan kekurangan bekalan sijil ekoran bekalan kertas yang digunakan adalah diimport daripada pengilang di China.
“Kelewatan bekalan kertas tiba di Malaysia disebabkan kejadian banjir di negara berkenaan baru-baru ini.
“Semakan mengesahkan bekalan kertas berkenaan sudah tiba di negara ini dan melepasi pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 6 Dis lepas,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai keluhan beberapa individu dari Sabah yang menunggu lama namun tidak dapat mencetak sijil kelahiran anak mereka.
Khairrul Aminus berkata kertas berkenaan sudah diterima oleh syarikat percetakan pada 8 Disember bagi proses cetakan sijil kelahiran dan kertas sijil lahir berkenaan dijangka sampai ke seluruh Sabah serta boleh dikeluarkan selewat-lewatnya 20 Dis ini.
“JPN ingin memohon maaf atas kelewatan dan kesulitan yang berlaku… ia adalah di luar kawalan JPN.
“Sekiranya terdapat pelanggan yang terkesan atau memerlukan surat pengesahan kelahiran daripada JPN, sebagai contoh untuk tujuan penerbangan ke Semenanjung Malaysia atau Sarawak, bolehlah memohon di JPN,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan JPN Negeri Sabah di talian 088-488300 atau 088-488301 atau 088-488365.
SUMBER: Bernama