Tiada bukti militan Filipina rancang serang Sabah, kata Hishammuddin
Tiada bukti militan Filipina rancang serang Sabah, kata Hishammuddin
KUALA LUMPUR: Tiada bukti militan bersenjata dari selatan Filipina merancang menyerang Sabah, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.
“Saya telah dimaklumkan oleh pihak ATM (Angkatan Tentera Malaysia) bahawa melalui pelaksanaan operasi dan perisikan, tiada petunjuk ketara atau bukti kukuh atas laporan seperti mana dinyatakan setakat ini,” katanya pada sidang media.
“Walaupun saya memandang serius (dakwaan) ini, buat masa ini, tiada apa-apa yang terperinci mengenai laporan itu yang memerlukan kami mengambil tindakan drastik.”
Hishammuddin bagaimanapun menyatakan, beliau telah mengarahkan tentera, tentera laut dan tentera udara di Sabah, meningkatkan kesiapsiagaan ke “peringkat tertinggi”, terutama di pantai timur negeri itu.
Beliau menjawab laporan South China Morning Post yang menyatakan bahawa terdapat pertemuan sulit antara 19 datuk bandar Kepulauan Sulu yang didakwa membincangkan rancangan menceroboh Sabah.
Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan firma keselamatan swasta yang berpangkalan di Amerika Syarikat, bahawa Kementerian Pertahanan sebagai satu daripada lima agensi tempatan yang menjadi mangsa kempen pengintipan siber, diketuai kumpulan tajaan kerajaan China.
“Kami tidak boleh bertindak hanya berdasarkan laporan daripada syarikat swasta. Jika tidak, kami tidak akan tidur lena,” katanya.
Katanya, unit perisikan negara dan Pusat Operasi Pertahanan Siber ATM (CDOC), sentiasa memantau ancaman penggodam dan setakat ini tiada laporan rasmi membabitkan serangan seumpamanya terhadap Kementerian Pertahanan.
Hishammuddin berkata demikian mengulas laporan syarikat keselamatan siber dari Amerika Syarikat, Insikt Group, yang mendakwa kementeriannya menjadi mangsa serangan berulang penggodam dari China.
Laporan itu menyebut, selain Kementerian Pertahanan, turut menjadi sasaran penggodam adalah Pejabat Perdana Menteri (PMO), polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Luar.
Mengakui pertembungan antara Amerika Syarikat dengan China menyebabkan dakwaan seperti ini ditimbulkan, Hishammuddin berkata, Malaysia tidak mahu terjerat dengan perebutan kuasa seperti itu.
Katanya, perbincangan berkenaan Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) antara Filipina dan Indonesia akan disambung, dengan sasaran menjamin keselamatan di Laut Sulu dan Laut Sulawesi.
Sambil menyatakan perbincangan akan dijadual berlangsung pada bulan depan, beliau menekankan mengekalkan keamanan dan keharmonian di Sabah tetap menjadi keutamaan bagi Kementerian Pertahanan.
SUMBER: Bernama