Peniaga nasi lemak maut dalam kemalangan jalan raya di Jengka
Peniaga nasi lemak maut dalam kemalangan jalan raya di Jengka
MARAN – Seorang peniaga nasi lemak berusia 29 tahun maut dalam kejadian kemalangan jalan raya di Jalan Besar Jengka 18, Maran, pada jam 8.20 pagi, hari ini.
Mangsa yang maut, Haryanti Lamsa dari Felda Sena Jengka 16 yang memandu Proton Persona bertembung dengan sebuah lori syarikat perkhidmatan penghantaran cepat yang datang dari arah Temerloh.
Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abdul Rahman, berkata, siasatan awal mendapati, pemandu motokar itu dalam perjalanan dari arah Bandar Pusat Jengka menghala ke Temerloh.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motokar yang dipandu Haryati dalam keadaan sedang memotong dan apabila masuk semula ke lorongnya telah bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan yang dipercayai gagal mengawal kenderaan mengakibatkan kemalangan.
“Akibat dari kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, sementara pemandu lori cedera di bahagian siku dan bahu sebelah kanan” katanya.
Katanya, motokar itu remuk teruk pada sebelah kanan kenderaan dari depan sehingga belakang kenderaan, manakala lori tersebut remuk bahagian kanan kenderaan dan cermin depan pecah.
“Keadaan jalan lurus dua hala, garisan berkembar sebagai pembahagi jalan dan cuaca baik dan jalan kering ketika kejadian.
“Hasil siasatan awal dapati kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu lori yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku. Kes disiasat di bawah Sek. 41 APJ 1987 dan lori tersebut akan menjalani pemeriksaan PUSPAKOM selain memohon saksi awam yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan,” katanya.
Katanya, post-mortem terhadap mayat mangsa akan dijalankan selepas mendapat keputusan Swab-Test Covid-19 di Hospital Jengka,” katanya.-SAHIH