SPNB bina 48,316 Rumah Mesra Rakyat di seluruh negara
48,316 Rumah Mesra Rakyat siap dibina di seluruh negara
Foto atas: Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib diberi penerangan oleh pegawai SPNB
MARAN – Sebanyak 48,316 unit Rumah mesra Rakyat (RMR) telah siap dibina di seluruh negara, manakala sejumlah 92,905 pula merupakan senarai berminat dalam sistem dan 6,606 permohonan dalam proses dan setelah dinilai layak menerima.
Program RMR diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM 3,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd, Muttalib berkata, selain itu, sebanyak 4,228 unit RMR telah siap dibina di Pahang dan 7,557 unit untuk senarai berminat yang telah diterima dalam sistem, manakala 253 permohonan dalam proses penilaian.

“Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) komited dalam mendukung agenda perumahan khususnya dalam menyediakan kediaman mampu milik untuk Keluarga Malaysia menerusi pelaksanaan taklimat kesedaran permohonan RMR peringkat Parlimen Maran.
“Jumlah permohonan di kawasan Parlimen Maran pula merekodkan sebanyak 809 dengan 18 permohonan sahaja dalam proses dan telah dinilai layak,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian yang
diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Maran, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Cawangan SPNB Negeri Pahang, Datuk Ahmad Islanizam A.Halim, dan Pegawai Daerah Maran, Sharuddin Jali,.
Katanya, menerusi Belanjawan 2022, peruntukan sebanyak RM315 juta untuk Program Rumah Mesra Rakyat dijangka mampu membina 3,000 lagi unit RMR di seluruh negara pada tahun 2022.
“SPNB adalah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti dan mampan kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Dasar Perumahan Negara.
“Sehubungan dengan itu, Keluarga Malaysia dari kalangan golongan B40 dan B50 di sekitar Maran disaran untuk merebut peluang untuk berdaftar di bawah Program RMR ini,” katanya.
Katanya, sekaligus membuka peluang kepada mereka memiliki kediaman yang selesa serta berkualiti, sejajar dengan agenda Malaysia Yang Berdaya Huni. –SAHIH.