Covid-19: Sabaruddin Chik kembali ke rahmatullah
Covid-19: Sabaruddin Chik kembali ke rahmatullah
Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Tan Sri Sabaruddin Chik meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), malam ini.
Allahyarham yang akan menyambut ulang tahun ke-80 pada 11 Dis ini, menghembuskan nafas terakhir pada 7.45 malam.
Pembantu Khasnya Datuk Zamri Mohamed yang mengesahkan perkara itu berkata Allahyarham dimasukkan ke PPUM sejak Ahad lepas selepas dijangkiti Covid-19.
Menurut Zamri, Allahyarham dijangka dikebumikan esok, namun waktu dan lokasi masih belum dapat dimaklumkan.
“Tan Sri ni seorang yang suka berterus-terang, tegas dan sangat menepati masa. Perancangannya untuk kita bersama-sama PM (Perdana Menteri) sambut ulang tahun kelahiran Allahyarham Tan Sri pada 11 Dis ini, namun Allah lebih sayangkannya,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata Allahyarham adalah ‘sifu’ politik beliau sejak beliau dilantik Ketua Penerangan Bahagian Temerloh ketika berumur 27 tahun sehingga menjadi Setiausaha Politik Allahyarham pada 1995-1999 sewaktu menjawat jawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.
Allahyarham memulakan karier politiknya selepas bertanding di Parlimen Temerloh dan memegang kerusi itu dari 1982 hingga 1999.
Allahyarham menjadi Setiausaha Agung Umno pada 1996 selama tiga tahun.
SUMBER: Bernama